KOMITMEN Google untuk menanggung kos elektrik serta infrastruktur sambungan ke grid bagi operasi pusat datanya dilihat sebagai langkah penting memastikan pembangunan ekonomi digital negara tidak menjejaskan keperluan asas rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen syarikat teknologi global itu turut merangkumi perancangan menambah lebih satu gigawatt kapasiti tenaga bersih kepada Grid Nasional.

Beliau berkata, kerajaan mengambil perhatian terhadap kebimbangan rakyat berhubung penggunaan sumber elektrik dan air yang diperlukan bagi menyokong operasi pusat data berskala besar.
Menurutnya, pembangunan projek berkenaan perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan komuniti setempat, termasuk memastikan bekalan utiliti terus diperkukuh.
“Di Negeri Sembilan, projek takungan dan loji rawatan air yang dirancang pula dijangka menambah bekalan air terawat untuk komuniti setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Perdana Menteri semalam ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri 2026 di Dewan Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Ayer Keroh berkata, kestabilan politik dan kejelasan dasar ekonomi negara menjadi antara faktor yang mendorong keyakinan Google untuk melabur sebanyak RM61 bilion di Malaysia.
Sebelum ini, Google mengumumkan pelaburan AS$15 bilion di Malaysia bagi tempoh 2027 hingga 2028 untuk memperluas infrastruktur digitalnya, termasuk pembangunan kampus pusat data di Selangor dan Negeri Sembilan.
Menurutnya, perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan, Ruth Porat selepas menilai beberapa destinasi pelaburan, termasuk negara lain di rantau ASEAN.
Anwar dalam pada itu berkata, ukuran sebenar kejayaan sesuatu pelaburan bukan sekadar nilai modal yang dibawa masuk, sebaliknya sejauh mana manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Sehubungan itu, kerajaan akan memberi perhatian terhadap pelaksanaan komitmen berkenaan bagi memastikan lebih ramai rakyat memperoleh peluang pekerjaan bergaji baik, selain perusahaan tempatan berpeluang mengembangkan perniagaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Google turut menyatakan komitmen meningkatkan kemahiran 800,000 rakyat Malaysia menjelang 2031, membabitkan golongan anak muda, usahawan mikro dan pencari kerja.
Usaha itu dijangka membantu memperluas penguasaan kemahiran digital dalam kalangan rakyat, sekali gus menyediakan tenaga kerja tempatan menghadapi keperluan ekonomi berasaskan teknologi.





