PEGUAM Datuk Seri Najib Tun Razak mendesak Jabatan Peguam Negara (AGC) menarik balik kenyataan berhubung penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu, sambil menegaskan tiada alasan undang-undang untuk beliau terus ditahan di Penjara Kajang.
Firma guaman Shafee & Co yang mewakili Najib dalam kenyataan berkata, semua syarat bagi membolehkan anak guamnya menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sudah dipenuhi, termasuk pembayaran denda RM50 juta pada hari ini.
Menurut firma itu, pembayaran berkenaan dibuat sepenuhnya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum mahkamah mengeluarkan perintah bermeterai kepada Pegawai Penjara Kajang bagi membenarkan pelepasan Najib serta-merta berhubung perintah pembayaran denda berkenaan.
“Kami menolak kenyataan media yang dikeluarkan AGC pada 6 November 2026 yang mendakwa pelaksanaan tahanan rumah anak guam kami ditangguhkan sementara.
“Untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, anak guam kami masih belum meninggalkan Penjara Kajang. Proses untuk memindahkannya ke tahanan rumah sedang berjalan ketika kenyataan AGC dikeluarkan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Peguam berkenaan turut mempertikaikan tindakan AGC membangkitkan persoalan tafsiran terhadap Perintah Pengampunan Bersyarat selepas kira-kira tujuh minggu pengumuman mengenainya dibuat, sedangkan pembayaran denda sudah diselesaikan.
Pada 18 September lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang bertindak sebagai urus setia Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa Najib diperkenankan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Firma itu mendakwa tiada sebarang persoalan mengenai tafsiran perintah berkenaan dibangkitkan sepanjang tempoh tersebut, malah Peguam Negara sebelum ini secara terbuka menyatakan pembayaran denda adalah syarat yang perlu dipenuhi sebelum Najib boleh menjalani tahanan rumah.
Dalam perkembangan berkaitan, peguam Najib turut membangkitkan pewartaan kediaman bekas Perdana Menteri itu di Nombor 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sebagai penjara bagi tujuan Akta Penjara 1995 pada 6 November.
Menurut mereka, pewartaan menerusi Warta Kerajaan Persekutuan itu membolehkan kediaman berkenaan dikategorikan sebagai penjara di bawah kuasa Pesuruhjaya Jeneral Penjara.
“Memindahkan anak guam kami ke kediaman itu tidak bermakna beliau dibebaskan daripada tahanan yang sah. Sebaliknya, ia hanya memindahkannya dari sebuah penjara yang diwartakan ke penjara lain, seperti yang diperintahkan Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, firma berkenaan berpendapat tindakan AGC mengekalkan Najib di Penjara Kajang pada masa sama kediamannya sudah diwartakan sebagai penjara adalah tidak munasabah.
Peguam itu turut menegaskan bahawa kuasa pengampunan merupakan prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan AGC tidak mempunyai kuasa untuk menggantung atau menangguhkan pelaksanaan perkenan berkenaan.
Mereka juga berpandangan sekiranya AGC mempunyai sebarang persoalan mengenai perintah mahkamah, perkara itu sepatutnya dibawa semula ke Mahkamah Tinggi dan bukannya diselesaikan menerusi kenyataan media.
Dalam pada itu, Shafee & Co mendesak Pesuruhjaya Jeneral Penjara menyempurnakan proses pemindahan Najib ke tahanan rumah tanpa berlengah, selain meminta AGC menarik balik kenyataannya serta-merta.
“Kami menuntut supaya anak guam kami dibebaskan dengan segera untuk menjalani tahanan rumah di kediamannya seperti yang diperintahkan Yang di-Pertuan Agong dan diarahkan oleh Mahkamah Tinggi,” menurut kenyataan itu.





