Kerajaan negeri Selangor arah henti serta-merta kerja pembangunan di Puncak Alam

SEMUA kerja pembangunan di Puncak Alam diarahkan dihentikan serta-merta bagi membolehkan pelan mitigasi banjir dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di kawasan berkenaan dinilai semula.

Keputusan itu dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor susulan kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan negeri itu sejak kebelakangan ini.

DATUK Seri Amirudin Shari

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri turut mengarahkan supaya kerja mitigasi banjir berskala kecil dan besar dipercepatkan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, langkah berkenaan perlu dilaksanakan segera tanpa terikat kepada jadual kerja konvensional berikutan keadaan cuaca yang dijangka menyaksikan hujan hampir setiap hari.

“Tambahan kepada itu, kerja mitigasi banjir baik yang berskala kecil ataupun besar di seluruh negeri, terutamanya kawasan yang berisiko lebih tinggi perlu dipercepatkan dengan kadar amat segera dan bukan mengikut jadual konvensional memandangkan hujan dijangka hampir setiap hari.

“Kita sedang menghadapi krisis perubahan iklim dan budaya kerja mitigasi banjir perlu sepadan dengan cabaran yang sedang dihadapi agar sebarang kemudaratan kepada rakyat dapat dielakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

SITUASI banjir yang melanda Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam semalam. GAMBAR tular

Dalam perkembangan sama, Jalan Batu Arang di Rawang akan ditutup sementara oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) susulan kejadian runtuhan tebing bagi membolehkan kerja pembaikan dilaksanakan.

Amirudin berkata, kerajaan negeri memahami kesulitan yang terpaksa ditanggung rakyat akibat kejadian banjir, terutama mereka yang berulang-alik ke tempat kerja serta ibu bapa yang perlu mengambil anak dari sekolah.

Katanya, keresahan masyarakat setiap kali hujan turun perlu diberikan perhatian serius dan teguran terhadap agensi kerajaan harus diterima secara terbuka bagi mempertingkatkan keberkesanan usaha menangani bencana itu.

“Rakyat tidak mampu mendengar alasan daripada mana-mana agensi sekiranya banjir berlaku, sebaliknya mereka mahu hidup secara selamat tanpa perlu risau tentang keselamatan diri ataupun keluarga tersayang,” katanya.

Bagi meringankan beban mangsa, kerajaan negeri akan mempercepatkan penyaluran bantuan kepada mereka yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), selain menyegerakan kerja membaik pulih dan membersihkan kediaman yang terjejas menerusi agensi negeri serta Yayasan MBI.

Menurutnya, bantuan sehingga RM1,500 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri akan disalurkan kepada mangsa yang berada di PPS bagi membantu menampung keperluan kewangan mereka sementara menunggu kerja pembaikan selesai.

Selain itu, amaran awal akan diberikan kepada pengguna jalan raya di kawasan yang berisiko mengalami kenaikan paras air, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarahkan melaksanakan kerja pengalihan saliran air dengan segera.

Amirudin berkata, semua agensi berkaitan turut dipertanggungjawabkan untuk mempercepatkan penyelenggaraan sistem saliran, termasuk longkang dan sungai, tanpa sebarang kelewatan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here