UMNO menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan segera mengenai asas perundangan yang mendorong penangguhan sementara pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penjelasan itu penting bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan, khususnya selepas bayaran denda RM50 juta dibuat dan perintah Mahkamah Tinggi dikeluarkan berkaitan pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
Beliau berkata, UMNO menghormati kedudukan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang utama kerajaan, namun pada masa sama menegaskan setiap keputusan berkaitan perkara itu perlu mempunyai asas perundangan yang jelas.
Menurutnya, prinsip utama yang perlu dipertahankan ialah kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong mesti dijunjung, manakala titah pengampunan bersyarat serta perintah mahkamah perlu dihormati dan diberikan kesan selaras dengan undang-undang.
“UMNO memandang serius persoalan yang timbul berhubung pelaksanaan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Khususnya selepas bayaran denda dibuat dan perintah Mahkamah Tinggi dikeluarkan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam tadi.
Azalina berkata, sebarang percanggahan atau penangguhan dalam perkara membabitkan keputusan mahkamah, kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan serta hak individu di sisi undang-undang tidak seharusnya dibiarkan tanpa penjelasan menyeluruh.
Justeru, beliau menegaskan AGC perlu memperincikan kedudukan undang-undang yang menjadi asas kepada keputusan menangguhkan pelaksanaan tahanan rumah itu.
Terdahulu, AGC memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan pada September lalu.
Menurut jabatan itu, keputusan tersebut dibuat susulan persoalan perundangan mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.
AGC turut menjelaskan terdapat dua kemungkinan tafsiran terhadap perintah berkenaan yang memerlukan penelitian lanjut sebelum tindakan seterusnya dapat dilaksanakan.





