MALAYSIA menjadi tumpuan komuniti catur antarabangsa apabila diberi penghormatan menjadi tuan rumah Kejohanan Catur Amatur Dunia FIDE 2026 (FIDE World Amateur Chess Championship 2026) dari 4 hingga 13 November ini di KSL Esplanade Hotel, Klang,
Kejohanan berprestij itu menghimpunkan kira-kira 600 pemain, termasuk 300 peserta antarabangsa dari 55 negara dan 300 pemain tempatan.
Majlis perasmian pada 5 November lalu disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, selaku Penaung Diraja kejohanan.
Majlis berkenaan turut menyaksikan baginda beradu kemahiran bermain catur dengan Grandmaster (GM) Nigel Short, tokoh catur antarabangsa yang pernah mencabar kejuaraan dunia.
Pertemuan itu melambangkan sokongan institusi diraja terhadap pembangunan sukan catur serta pengiktirafan terhadap kepentingan sukan minda di peringkat antarabangsa.

Kejohanan anjuran Persatuan Catur Selangor (Selangor Chess Association) dengan kerjasama Persekutuan Catur Malaysia (Malaysian Chess Federation), di bawah naungan Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), mempertandingkan kategori Terbuka dan Wanita dalam tiga tahap penarafan, iaitu Bawah 1700, Bawah 2000 dan Bawah 2300.
Pertandingan itu menyediakan platform kepada pemain amatur dari seluruh dunia untuk menguji kemampuan, strategi dan prestasi masing-masing, selain membuka peluang kepada pemain tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Penganjuran kejohanan turut mendapat sokongan Tourism Selangor sebagai Lembaga Pelancongan Rasmi, Tourism Malaysia, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Kerajaan Negeri Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan.
Lebih daripada sekadar pertandingan sukan, acara itu turut menjadi platform diplomasi sukan bagi memperkukuh hubungan antarabangsa serta mempromosikan Malaysia dan Selangor sebagai destinasi pelancongan.
Kehadiran peserta dan delegasi luar negara turut membuka peluang kepada sektor perhotelan, makanan dan minuman, pengangkutan serta perkhidmatan pelancongan untuk menikmati limpahan ekonomi sepanjang kejohanan berlangsung.
Penganjuran itu juga menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026/2027 dan Tahun Melawat Selangor 2026, sekali gus memperlihatkan keupayaan negara menganjurkan acara sukan bertaraf dunia.
Kejohanan Catur Amatur Dunia FIDE 2026 bukan sahaja mengangkat martabat sukan catur negara, malah memperkukuh kedudukan Malaysia dan Selangor sebagai destinasi pilihan bagi penganjuran acara antarabangsa.





