Peguam Negara mohon menghadap, ampun Agong berhubung isu pengampunan Najib

PEGUAM Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi menzahirkan permohonan ampun serta menjelaskan persoalan perundangan berhubung Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, permohonan menghadap itu bertujuan membolehkan Peguam Negara menyatakan pendiriannya untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda.

Selain itu, Mohd Dusuki juga akan menjelaskan isu perundangan yang timbul susulan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi selepas pembayaran denda RM50 juta oleh bekas Perdana Menteri berkenaan.

“Peguam Negara juga akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul daripada Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi susulan pembayaran denda RM50 juta, dan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberi kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1MDB,” menurut kenyataan itu.

Permohonan berkenaan menyusul selepas Istana Negara sebelum ini menegaskan bahawa sebarang hujah yang mempertikaikan Perintah Pengampunan Bersyarat terhadap Najib boleh menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.

Titah itu turut menjelaskan bahawa semua syarat dalam perintah pengampunan berkenaan sudah dipenuhi dan pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.

Istana Negara juga menegaskan perintah berkenaan adalah jelas, nyata dan tidak mempunyai sebarang ambiguiti, selain tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes lain yang dihadapi Najib.

Terdahulu, UMNO mengesahkan proses pembayaran denda RM50 juta oleh Najib sudah diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai syarat bagi membolehkan beliau menjalani tahanan di rumah.

Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian mengumumkan penangguhan sementara pelaksanaan tahanan di rumah itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Sultan Ibrahim.

AGC sebelum ini menjelaskan, penangguhan berkenaan dibuat susulan persoalan perundangan, khususnya berkaitan kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib dalam kes SRC International.

Pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya meneliti petisyen pengampunan yang dikemukakan Najib mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here