EMPAT individu cedera ringan dalam kemalangan membabitkan empat buah kereta di Kilometer 134.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berhampiran sebuah pasar raya besar di Seberang Jaya petang tadi.
Kemalangan kira-kira jam 4.35 petang itu membabitkan dua kereta Perodua Myvi, sebuah Toyota Alphard dan Honda Accord dengan tujuh individu berada dalam kesemua kenderaan berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.
Menurutnya, empat mangsa yang cedera terdiri daripada dua lelaki berusia 29 dan 56 tahun serta dua wanita masing-masing berumur 24 dan 25 tahun.
“Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba turut melakukan kerja pembersihan sisa kemalangan bagi memastikan keadaan di lokasi selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada pengguna lebuh raya lain.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.37 petang selepas keadaan di lokasi terkawal.





