SEBUAH bas ekspres membawa 16 penumpang termasuk seorang kanak-kanak berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka tiba-tiba terbakar di Kilometer 195.9 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Ayer Keroh petang ini.
Kejadian dipercayai berlaku apabila tayar belakang bas itu yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor tiba-tiba terbakar sebelum kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya.

Kemalangan membabitkan bas tersebut turut mengakibatkan kesesakan lebuh raya lebih lima kilometer menghala selatan susulan hampir keseluruhan laluan ditutup bagi operasi pemadaman.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Fadil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada PLUS pada jam 3.04 petang sebelum tiba di lokasi kira-kira 22 minit kemudian.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah bas ekspres sedang terbakar dengan anggaran kemusnahan sekitar 80 peratus.
“Bas itu membawa 17 individu iaitu seorang pemandu, seorang kanak-kanak dan 15 penumpang dewasa.
“Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya menyelamatkan diri dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Beliau berkata, kesemua penumpang kemudian dipindahkan ke bas lain yang disediakan pihak syarikat untuk meneruskan perjalanan ke destinasi.
“Punca awal dipercayai akibat tayar belakang terbakar sebelum bas hilang kawalan dan melanggar pembahagi lebuh raya.
“Keadaan lalu lintas ketika ini terkawal, tidak melibatkan kenderaan lain dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.


