Dua pokok tumbang hempap teksi, kereta dan rumah di Seberang Perai

DUA kejadian pokok tumbang berasingan di Prai dan Kubang Semang di Seberang Perai petang tadi mengakibatkan sebuah teksi, kereta serta dua premis mengalami kerosakan.

Bagaimanapun, kedua-dua kejadian itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kejadian pertama dilaporkan di Desa Sutera Square, Jalan Sutera 3, Prai pada jam 6.01 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Prai dengan bantuan BBP Bandar Perda bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

“Sebaik tiba, anggota bomba mendapati sebatang pokok tumbang menghempap sebuah teksi jenis Proton Saga serta merosakkan sebahagian kecil bumbung kedai berhampiran.

“Pemandu teksi berusia lingkungan 50-an bagaimanapun terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota bomba bersama pekerja Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan bagi mengalihkan batang serta dahan pokok yang tumbang,” katanya, lapor BH.

Beliau berkata, operasi di lokasi berkenaan ditamatkan pada jam 7.57 malam selepas kawasan itu disahkan selamat sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian berasingan di Mengkuang Titi, Kubang Semang, sebatang pokok turut tumbang menghempap sebuah kereta Perodua Bezza serta sebahagian rumah.

John berkata, anggota dari BBP Penanti dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan kerja mengalihkan pokok yang menghempap kenderaan dan rumah berkenaan.

“Pemilik kereta berusia 24 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Anggota bomba menjalankan kerja-kerja mengalihkan pokok sebelum menyerahkan semula kawasan kejadian kepada pemilik rumah,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here