SEORANG lelaki dan anak perempuannya terselamat selepas rumah dua tingkat didiami mereka di Lorong Masjid, Cherok Tok Kun Bawah di Bukit Mertajam terbakar awal pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.28 pagi berhubung kebakaran itu.
“Mangsa yang juga seorang lelaki dewasa dan anak perempuannya berjaya menyelamatkan diri sebelum anggota bomba tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus rumah berkenaan, manakala sebuah motosikal Yamaha FZ turut rosak 85 peratus.
Beliau berkata, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran pada jam 5.45 pagi sebelum api dipadamkan sepenuhnya pada jam 6.21 pagi.
“Pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan dan pengawalan bagi memastikan tiada lagi bahaya yang berpotensi berlaku di lokasi kejadian.
“Lokasi kemudiannya diserahkan kepada Pasukan Siasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut,” katanya.





