TIGA lelaki yang maut akibat disambar petir di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang petang ini sangat akrab dan sentiasa meluangkan masa bersama terutama melibatkan hobi dan aktiviti.
Seorang ahli keluarga mangsa, Haris Salleh Kurais, 42, berkata, ketiga-tiga mangsa juga sering bersama ke mana-mana.

“Mereka bertiga memang rapat. Kalau pergi ke mana sahaja mereka pasti bersama-sama. Contoh, kalau mahu baiki motosikal, seorang pergi, dua lagi akan ikut,” katanya kepada media di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang hari ini, lapor Bernama.
Ketiga-tiga yang maut dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu ialah dua beradik iaitu Mohamad Ahzam Marusin, 16, dan abangnya, Mohd Sahrif, 26, serta sepupu mereka, Mohammad Safwan Aksan, 18.
Haris Salleh berkata, dia menerima panggilan mengenai kejadian menimpa ketiga-tiga mangsa itu kira-kira jam 4.30 petang dan terkejut apabila dimaklumkan mereka ditimpa kejadian itu.
“Kali terakhir saya jumpa mereka dua hari lepas, semasa pergi ke pantai. Saya memang rapat dengan mereka,” katanya.
Mengenai urusan pengebumian, Haris Salleh berkata, jenazah ketiga-tiganya akan dibawa pulang ke kampung halaman mereka di Semporna, Sabah selepas proses bedah siasat selesai.
Sementara itu tinjauan di hospital berkenaan mendapati ahli keluarga mula berkumpul sejak jam 8 malam bagi mengikuti proses bedah siasat.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, tiga lelaki maut dipercayai akibat disambar petir ketika berteduh di bawah sebatang pokok di kawasan Bandar Baru Salak Tinggi.
Tular beberapa video memaparkan tiga individu dipercayai kesemuanya lelaki terbaring dan telah meninggal dunia akibat disambar petir ketika hujan lebat petang ini.





