![]()
PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan mengetepikan tindakan terhadap Bersatu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, susulan beberapa dakwaan pelanggaran disiplin termasuk tindakan parti itu bertanding di kerusi yang turut ditandingi calon gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan yang dipertikaikan itu turut membabitkan aduan Bersatu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sehingga menyebabkan pendaftaran PN dibatalkan sebelum perkara berkenaan dicabar di mahkamah.
Beliau menegaskan, PN mempunyai bukti berhubung dakwaan berkenaan dan tidak terkesan dengan sebarang penafian daripada kepemimpinan Bersatu.
“Dia (Bersatu) membuat aduan kepada RoS sehingga PN dibatalkan. Bukan sahaja digantung, tetapi dibatalkan (pendaftaran),” katanya selepas menyampaikan ceramah Gelombang Biru Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Tangga Batu, Melaka malam ini, lapor BH.
Yang turut hadir, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Pengarah Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan dan calon BN bagi kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi.
Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung Pas berkata, keputusan RoS membatalkan pendaftaran PN kemudiannya dicabar di mahkamah kerana tindakan berkenaan disifatkan tidak sepadan dengan aduan yang dikemukakan.
“Tapi apabila kami bawa perkara ini ke tengah (mahkamah), mahkamah pun tidak boleh menerima tindakan pembatalan itu sebagai tindakan yang appropriate (sesuai).
“Jadi jelaslah ini adalah suatu tindakan yang di luar daripada norma-norma organisasi, termasuk organisasi politik,” katanya.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini dilaporkan berkata, sebarang prosiding dan tindakan tata tertib terhadap Bersatu hanya akan diputuskan selepas PRN Melaka berakhir pada 14 November ini.
Beliau berkata, PN menerima beberapa aduan daripada parti komponennya berhubung dakwaan salah laku dan pelanggaran disiplin yang perlu diteliti berdasarkan peruntukan Perlembagaan gabungan itu.
Susulan itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mencabar kepemimpinan Pas supaya membuktikan parti berkenaan tidak melanggar Perlembagaan PN sebelum sebarang tindakan tata tertib diambil.
Tun Faisal dilapor turut mempersoalkan kerjasama Pas dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi PRN Melaka, termasuk sama ada rundingan berkenaan mendapat mandat daripada Majlis Tertinggi PN.





