PROSES pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pagi ini berjalan lancar, dengan sebahagian anggota keselamatan mengambil kesempatan cuaca cerah di awal pagi untuk hadir ke pusat pengundian.
Sebanyak 31 pusat mengundi awal dibuka tepat jam 8 pagi ini bagi membolehkan 12,531 pasukan keselamatan bersama pasangan masing-masing menunaikan tanggungjawab mereka.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sejumlah 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 anggota polis akan melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Kesemua pusat pengundian berkenaan akan ditutup secara berperingkat mengikut jadual yang ditetapkan SPR bermula dari 12 tengah hari, 2 petang hingga 5 petang hari ini.
Di Pusat Pengundian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, anggota polis yang layak mengundi hadir seawal 7.30 pagi dan mula beratur untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada 7.53 pagi.
Proses pengundian berjalan dalam keadaan terkawal sebaik pusat mengundi yang terletak dalam DUN Ayer Keroh itu dibuka pada 8 pagi, dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan 817 anggota polis akan mengundi awal di pusat berkenaan.
Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar yang tiba pada 7.52 pagi, meluangkan masa meninjau perjalanan proses pengundian sebelum menunaikan tanggungjawabnya mengundi di saluran satu pada 8.42 pagi.
DUN Ayer Keroh menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang Kerk Chee Yee (Pakatan Harapan), Datuk Seri Michael Gan Peng Lam (Perikatan Nasional), Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Parti Bersama Malaysia) dan Mohd Hamnaim Mohamad (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).
Mohd Hamnaim turut dilihat meninjau proses pengundian di pusat itu.
Di Kem Terendak, Sungai Udang, proses pengundian turut berlangsung dalam keadaan terkawal dengan anggota tentera serta pasangan mereka, mula hadir bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing sebaik pusat-pusat mengundi di kem itu dibuka pada 8 pagi.
Sebahagian daripada mereka yang hadir bersama dengan anak masing-masing, menarik perhatian pengamal media untuk merakamkan gelagat si kecil yang mengikut ibu bapa mereka ke pusat pengundian pada awal pagi.





