Polis siasat dakwaan kanak-kanak ditinggalkan di Plaza Tol Nilai

POLIS sedang menyiasat video tular yang memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai ditinggalkan ibu bapanya berhampiran Plaza Tol Nilai, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), semalam.

Rakaman berdurasi kira-kira seminit itu menunjukkan kanak-kanak berkenaan mengejar sebuah kereta sebelum berpaut pada pintu belakang kenderaan terbabit, namun terjatuh ke jalan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 11 malam selepas video berkenaan tersebar di media sosial.

“Rakaman dipercayai dirakam menggunakan kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain, manakala tarikh, masa dan lokasi sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti pemilik rakaman berkenaan, seorang wanita, dan sedang berusaha menghubunginya bagi mendapatkan keterangan serta rakaman asal.

“Berdasarkan kenyataan pemilik kamera papan pemuka itu di media sosial, waris kanak-kanak terbabit dipercayai berpatah balik dengan berjalan kaki untuk mendapatkannya kerana lokasi kejadian jauh dari kawasan pusingan U.

“Bagaimanapun, maklumat itu masih belum dapat disahkan dan memerlukan rakaman percakapan pemilik berkenaan serta usaha mengesan waris dan kanak-kanak terbabit,” katanya.

Johari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki mempunyai unsur pengabaian atau perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Daerah Nilai di talian 06-7904222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here