Kanak-kanak lima tahun maut dalam nahas enam kenderaan

KECEDERAAN parah di kepala meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun selepas kereta dinaiki bersama bapanya terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Mangsa yang duduk di tempat duduk belakang Perodua Bezza disahkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas kejadian kira-kira jam 3.44 petang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika trafik bergerak perlahan dari pusat bandar menghala ke Segambut.

Menurutnya, Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah BYD Seal sebelum pelanggaran turut membabitkan motosikal.

“Perodua Bezza kemudian berpusing ke lorong kanan dan melanggar tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu Bezza mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-duanya menerima rawatan di HKL.

Pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun dan pemilik Perodua Myvi, wanita berusia 30 tahun, tidak mengalami kecederaan.

Mohd Zamzuri berkata, pemandu BYD Seal berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi selepas kejadian berjaya dikesan polis dan kini dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara akibat gegaran otak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H S Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here