BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 3.08 petang tadi bagi mengikuti prosiding permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung perintah pelepasan yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.
Najib, 73, dibawa dari Penjara Kajang dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) dan turut kelihatan beberapa ahli keluarganya, termasuk anak perempuannya, Nooryana Najwa.
Prosiding berkenaan dijadual berlangsung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin, lapor Harian Metro.
Terdahulu, AGC memfailkan permohonan bagi membolehkan mahkamah mengkaji semula dan meneliti perintah pelepasan membabitkan pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan berkata, permohonan itu turut bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu supaya selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 18 September lalu.
Pada 6 November lalu, Najib menerusi peguamnya melunaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
AGC kemudian memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan terbaharu itu menyusul selepas Mohd Dusuki sebelum ini membangkitkan isu kecacatan pada perintah pelepasan berkenaan.
Beliau menegaskan penelitian sewajarnya ketika menyediakan dokumen rasmi amat penting bagi mengelakkan sebarang pertikaian, khususnya berkaitan ketepatan penggunaan istilah undang-undang.




