Jangan terima pakai model pembangunan bandar di luar negara membuta tuli – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa pembangunan yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan projek-projek mega tanpa mengambil kira keperluan rakyat biasa berisiko mencetuskan rasa marah dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu pada pembinaan bangunan yang mengagumkan, sebaliknya perlu turut mengambil kira keperluan masyarakat, kelestarian alam sekitar dan kualiti hidup.

“Fokus kita adalah pada pembangunan, dan itu betul. Fokus kita adalah pada pertumbuhan dan pembinaan, dan itu praktikal. Tetapi apabila kita tidak memahami keperluan masyarakat, kita hanya akan mengundang rasa marah,” katanya ketika berucap pada pameran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) di Kuala Lumpur hari ini.

Perdana Menteri mengingatkan supaya model pembangunan bandar di luar negara tidak diterima pakai secara membuta tuli, sebaliknya bandar-bandar di Malaysia perlu dirancang berdasarkan iklim, alam sekitar dan keutamaan negara ini.

Sehubungan Anwar secara tegas mempersoalkan kecenderungan untuk menjadikan Kuala Lumpur seakan-akan bandar-bandar utama dunia seperti London dan New York, walaupun keadaan di bandar-bandar berkenaan jauh berbeza.

“Pada pandangan saya, perkara itu tidak masuk akal kerana iklim, alam sekitar dan keutamaannya berbeza,’’ katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu bergerak melangkaui sekadar menerima pakai teknologi asing dan membangunkan keupayaan sendiri dalam bidang pembuatan, inovasi dan pengkomersialan.

“Kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang bukan sekadar mengimport dan menggunakan teknologi,’’ katanya.

Perdana Menteri berkata, negara perlu terus membangunkan pengetahuan, bakat dan keupayaan industri yang diperlukan untuk menyesuaikan, menghasilkan dan akhirnya mengeksport teknologi.

Anwar turut menggesa kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, pemain industri dan rakan teknologi bagi memastikan kontraktor tempatan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana, tidak ketinggalan dalam transformasi industri pembinaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here