Najib dilihat keluar Penjara Kajang, dijangka ke Mahkamah Kuala Lumpur

KENDERAAN utiliti sukan (SUV) yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat keluar dari pekarangan Kompleks Penjara Kajang kira-kira jam 2.40 petang tadi.

Kenderaan berwarna kelabu itu diiringi beberapa kenderaan kawalan keselamatan penjara, namun destinasi yang dituju tidak dapat dipastikan.

Peguam Najib, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah bagaimanapun memaklumkan anak guamnya akan hadir ke Mahkamah Kuala Lumpur.

Kehadiran Najib ke mahkamah itu dipercayai berkaitan perkembangan terbaharu berhubung perintah pelepasan yang dipertikaikan, membabitkan pelaksanaan baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi kaedah tahanan rumah, lapor Buletin TV3.

Terdahulu, Mohamed Shafee dilaporkan dijadual mengadakan pertemuan dengan hakim Mahkamah Tinggi petang ini berhubung perkara berkenaan.

Perkara itu disenaraikan di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin pada jam 2.30 petang di Mahkamah Tinggi Jenayah 5 Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan pembetulan bagi membolehkan mahkamah menyemak semula perintah pelepasan bertarikh 6 November lalu dan mengeluarkan perintah baharu selaras dengan pengampunan bersyarat yang diberikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, pada 18 September lalu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan pemfailan permohonan berkenaan dalam satu kenyataan hari ini.

Perintah terdahulu dikeluarkan selepas UMNO menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib pada 6 November lalu.

Mahkamah turut memerintahkan pembebasan serta-merta Najib dan menetapkan baki hukuman penjara perlu dijalani menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here