AHLI Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim menggesa Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengesahkan kesahihan perintah mahkamah yang membenarkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.
Katanya, jika dokumen yang kini tersebar di media sosial itu benar-benar sahih, penjelasan perlu diberikan berhubung banyak ‘kesilapan’ dalam dokumen tersebut.
Beliau berkata, kesilapan yang didakwa itu termasuk nama mahkamah serta peruntukan undang-undang dan perundangan yang dirujuk.
Hassan membangkitkan penggunaan istilah ‘Discharge order’ (perintah pembebasan) dan bukannya Transfer Order (perintah pemindahan) yang digunakan dalam dokumen berkenaan.
Beliau berkata, perbezaan itu penting kerana pengampunan bersyarat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 18 Sept membolehkan Najib menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah, bukannya dibebaskan.
“Ketua hakim negara perlu tengok kenapa bahasa yang digunakan dalam ‘Dokumen Order of Discharge on Payment of Fine’ itu macam rojak, bahasa Inggeris bercampur-baur dengan bahasa Melayu.
“Tidakkah pegawai di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur itu tidak menyedari bahawa Seksyen 16 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menyatakan bahawa semua prosiding, afidavit, eksibit dan borang hendaklah ditulis dalam bahasa Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan mengapa nama penuh Najib dan nama bapanya, bekas Perdana Menteri Abdul Razak Hussein, ditulis dengan begitu cuai dalam dokumen itu.
‘’Ketua Hakim Negara perlu meneliti sendiri perkara itu dan menjelaskan mengapa mutu penyediaan dokumen sepenting itu oleh Mahkamah Tinggi begitu rendah,’’ katanya.
Dokumen yang tersebar itu, bertarikh 6 Nov dan dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, menyatakan bahawa Najib diperintahkan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah di kediamannya di Taman Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Dokumen itu menyatakan bahawa aturan berkenaan tertakluk kepada syarat Najib membayar denda RM50 juta dan mematuhi syarat-syarat yang dilampirkan pada perintah itu.
Hari ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan perintah pelepasan terdahulu membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan menggantikannya dengan perintah baharu yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Aslam Zainuddin selepas mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mendapatkan penjelasan serta membetulkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu
Perintah terdahulu membolehkan Najib dilepaskan selepas menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.
Menerusi keputusan terbaharu itu, Najib diperintahkan menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah di alamat 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028.
Ketika membacakan keputusan, Aslam berkata, perintah pelepasan selepas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu dibatalkan sepenuhnya dan digantikan dengan perintah baharu.





