Najib lega, bakal dipindahkan ke kediaman di Langgak Duta hari ini – Peguam

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berasa lega selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International menerusi tahanan di rumah.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, Najib sememangnya menantikan perkembangan itu dan dijangka dipindahkan dari Penjara Kajang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta sebelum penghujung hari ini.

Beliau berkata, keputusan mahkamah berkenaan memberikan kelegaan besar kepada anak guamnya selepas sekian lama menunggu pelaksanaan tahanan di rumah.

“Ini nampaknya satu kelegaan yang besar buat beliau kerana sudah sekian lama menantikan perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, ketika diminta mengulas reaksi Najib terhadap keputusan berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin hari ini memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan menerusi tahanan di rumah di kediamannya di Jalan Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.

Perintah itu dibuat selaras dengan pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.

Mahkamah turut mengetepikan perintah bertarikh 6 November lalu yang membenarkan Najib dilepaskan selepas menjelaskan denda, sebelum menggantikannya dengan perintah baharu hari ini selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, Muhammad Shafee turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan Seri Paduka Baginda memberikan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri itu.

Menurutnya, pihak peguam sebelum ini beberapa kali mengemukakan surat kepada Seri Paduka Baginda berhubung perkara berkenaan sebelum permohonan itu dipertimbangkan.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Seri Paduka Baginda kerana memperkenankan tahanan rumah yang amat diperlukan oleh anak guam kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, individu yang ingin menziarahi bekas Perdana Menteri itu di kediamannya di Langgak Duta dijangka perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia.

Menurut Muhammad Shafee, pihaknya masih belum mengetahui secara terperinci kaedah lawatan yang akan dilaksanakan, namun menjangkakan perlu membuat permohonan terlebih dahulu.

“Pelawat tetap perlu mendapatkan kebenaran (Jabatan Penjara Malaysia) untuk menemuinya,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here