BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkemungkinan dapat menjalani perintah tahanan rumah pada 14 Oktober ini sekiranya Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan hukuman kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan denda RM50 juta dijelaskan.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan, keputusan tersebut bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada pertimbangan pihak mahkamah serta hujah yang dikemukakan kedua-dua pihak.
“Kalau kita sudah bersedia pada 14 Oktober, dan hari sama dapat penangguhan, kemudian, insya-Allah, RM50 juta itu dibayar, ada kemungkinan besar beliau dibebaskan pada hari yang sama,” katanya kepada pemberita selepas prosiding membabitkan Najib di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Muhammad Shafee bagaimanapun tidak memberi kepastian mengenai tempoh masa khusus, namun menegaskan pelepasan itu boleh berlaku sekiranya semua syarat dan kelulusan dipenuhi pada tarikh berkenaan.
Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 14 Oktober depan bagi mendengar permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun membabitkan kes 1MDB sementara menunggu proses rayuan.
Penetapan tarikh pengurusan kes berkenaan diputuskan oleh Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.
Menurut Muhammad Shafee, rayuan tersebut difailkan berhubung sabitan dan hukuman melibatkan empat pertuduhan salah guna kedudukan serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM2.27 bilion.
Tambah beliau, hukuman penjara 15 tahun bagi kes 1MDB itu berkuat kuasa secara berasingan selepas anak guamnya selesai menjalani hukuman bagi kes SRC International.




