LEMBAGA Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) dijangka membincangkan permohonan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mesyuarat minggu ini.
Menurut sumber, permohonan Najib dijangka antara perkara akan dibangkitkan dalam mesyuarat itu.
Bagaimanapun kata sumber itu kepada FMT, belum jelas sama ada mesyuarat itu akan membuat keputusan atau sekadar membincangkan permohonan tersebut.
Satu lagi sumber memberitahu, ada kemungkinan Najib dibenarkan menjalani baki hukumannya sebagai tahanan rumah, namun belum dapat dipastikan sama ada pilihan itu akan dipertimbangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Perkembangan itu berlaku ketika perhatian kembali tertumpu kepada usaha Najib mendapatkan pengampunan dengan Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan mereka yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, khususnya dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani hukuman sepenuhnya.
Dalam kenyataan dikeluarkan selepas tengah malam tadi oleh Majlis Sekretariatnya, PH berkata, gabungan itu menyokong usaha Kerajaan MADANI memerangi rasuah, ketirisan dan salah guna kuasa.
PH berkata, sebagai gabungan yang sejak awal memperjuangkan reformasi institusi, tadbir urus baik dan menolak rasuah, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan rasuah atau salah guna kuasa, terutama dalam kes berprofil tinggi, perlu menjalani sepenuhnya hukuman ditetapkan mahkamah.
Gabungan itu turut berkata, proses kehakiman yang sedang berjalan perlu dibiarkan berlangsung sehingga selesai tanpa menimbulkan sebarang persepsi bahawa ia dipengaruhi pertimbangan lain.
PH tidak menamakan Najib atau mana-mana kes tertentu dalam kenyataan itu.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan bahawa LPWP dijangka bermesyuarat pada 11 September untuk mempertimbangkan beberapa perkara, termasuk permohonan pengampunan Najib berhubung sabitannya berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sin Chew Daily melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh yang menganggotai lembaga itu, memberi taklimat kepada Majlis Presiden PH pada malam Selasa.
Najib, 72, disabitkan kesalahan enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang mula dijalaninya di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
LPWP kemudian mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
Pada 22 Disember tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan dalam kes SRC International sebagai tahanan rumah.
Najib pada mulanya merayu keputusan itu, namun kemudian menarik balik rayuannya selepas pasukan peguamnya memfailkan notis pemberhentian rayuan.





