TUJUH lelaki termasuk seorang remaja mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan merusuh menggunakan senjata di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi di Kuala Lumpur, minggu lepas.
Iftikhar Muhammad Rehmani Mohd Rafie, 30, Danny Chan Tim Meng, 20, Yee Jun Jiet, 20, Khaw Kah Ho, 19, Mohd Quayyum Azman, 43, Syaiful Kamal Abdulahak, 44, dan seorang remaja lelaki berumur 16 tahun, didakwa bersama-sama seorang individu yang masih bebas.
Kesemua mereka didakwa menyertai dan berada dalam rusuhan serta memiliki benda memudaratkan yang boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang, dalam kejadian pada 11 malam, 1 Nov.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Mohamad Poad menawarkan jaminan RM3,000 kepada remaja terbabit, manakala tertuduh lain tidak ditawarkan sebarang jaminan.
Peguam Mohamad Akmal Mohd Taufik mewakili Iftikhar, Danny, Yee, Khaw dan remaja berkenaan, manakala Mohd Quayyum dan Syaiful Kamal diwakili peguam Nurul Aina Ardilla Abdul Halim.
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim membenarkan remaja itu diikat jamin RM800 dengan seorang penjamin, manakala enam tertuduh lain dibenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan mereka perlu melapor diri di balai polis berhampiran kediaman sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 11 Dis depan untuk serahan dokumen.
Pada 2 Nov, media melaporkan sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan susulan kejadian merusuh, dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan perniagaan di hadapan sebuah kafe di Sungai Besi.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kesemua suspek berusia 16 hingga 44 tahun itu, ditahan sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, di sekitar lokasi kejadian.





