KONVOI lima kenderaan yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di pekarangan Penjara Kajang kira-kira jam 6.10 petang tadi.
Ketibaan itu dipercayai sebahagian daripada persiapan sebelum Najib dipindahkan ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah.

Difahamkan, Najib dibawa ke Penjara Kajang terlebih dahulu sebelum proses pemindahan ke kediamannya dilaksanakan.
Media sebelum ini melaporkan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu dijangka dibawa keluar dari penjara hari ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkannya menjalani baki hukuman bagi kes SRC International menerusi tahanan rumah.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin sebelum itu membatalkan perintah pelepasan terdahulu bertarikh 6 November lalu yang dibuat selepas pembayaran denda, sebelum menggantikannya dengan perintah baharu bersyarat.
Menerusi keputusan itu, Najib diperintahkan menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan di kediamannya di Jalan Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
Perintah berkenaan dibuat selaras dengan pengampunan diraja bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.




