AHLI Parlime Kota Raja Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan kerajaan memberikan peluang kepada semua banduan untuk menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara, manakala separuh lagi menerusi tahanan di rumah.
Katanya, cadangan itu melibatkan semua jenis kesalahan dan bukan hanya tertumpu kepada individu atau kes tertentu.
Ketika bercakap kepada media di Merlimau Melaka, beliau turut mengumumkan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkuat kuasa serta-merta sehingga tempoh pembubaran Parlimen penggal ini.
Beliau berkata langkah itu sebagai usaha membantu membiayai usaha NGO menegakkan keadilan berkaitan isu tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Katanya, gaji bulanan sebagai menteri berjumlah RM11,900 akan disalurkan sepenuhnya kepada NGO yang terlibat dalam usaha berkenaan.
“Saya menyeru badan-badan bukan kerajaan, terutamanya NGO seperti Bersih, Majlis Peguam, Persatuan Peguam Syarie serta seluruh masyarakat sivil agar terus memperjuangkan prinsip kesaksamaan hak setiap warganegara sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Saya ingin menegaskan bahawa keadilan dalam negara ini mesti ditegakkan secara saksama tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik, mahupun latar belakang seseorang,” katanya selepas Himpunan Semarak Tani Bersama Nelayan negeri Melaka.
Mohamad menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang pertikaian peribadi dengan Najib mahupun keluarga bekas Perdana Menteri itu, sebaliknya mahu prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan tanpa memberikan layanan istimewa kepada mana-mana individu berdasarkan kedudukan atau pengaruh.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah atau pertikaian peribadi dengan Najib Razak mahupun anggota keluarganya.
“Saya tidak mencabar sesiapa, saya hanya mengesyorkan supaya ada satu undang-undang nanti, kalau seseorang itu, tak kiralah apa kesalahan dia, kalau enam tahun (hukuman), tiga tahun dalam penjara, tiga tahun di rumah,” katanya.
Mohamad berkata, beliau akan berbincang dengan setiausahanya bagi menentukan NGO yang akan menerima sumbangan berkenaan untuk menggerakkan kempen, termasuk penganjuran forum, seminar dan perhimpunan.





