PGA rampas 49 tan daging babi, ayam bernilai RM2.5 juta

KEGIATAN menyimpan dan memproses daging babi serta ayam sejuk beku tanpa lesen terbongkar selepas Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah premis di Kawasan Perindustrian Sri Kulai, Jalan Perak, Kulai, semalam.

Serbuan pada jam 7 pagi menerusi Op Salju itu menyaksikan rampasan sebanyak 49,048 kilogram (kg) daging sejuk beku dengan nilai melebihi RM2.5 juta.

Komander PGA Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner Awang Arfian Awang Bujang berkata, operasi oleh anggota Batalion 5 PGA itu dijalankan hasil maklumat awam.

Katanya, daripada 11 individu yang diperiksa, sembilan ditahan termasuk pemilik premis, lelaki tempatan berusia 30 tahun serta lapan pekerja berusia antara 30 hingga 38 tahun, termasuk seorang wanita warga Myanmar.

“Siasatan mendapati premis yang telah beroperasi kira-kira dua tahun itu tidak memiliki lesen perniagaan untuk menjalankan aktiviti penyimpanan dan pemprosesan makanan sejuk beku.

“Bekalan bahan mentah dipercayai diperoleh dari China, Thailand dan Brazil serta pembekal tempatan sebelum diproses untuk dijual kepada peniaga bukan Islam di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan, hari ini, lapor BH.

Beliau berkata, pemeriksaan turut menemukan keadaan kebersihan yang tidak menepati piawaian, selain daging babi dan ayam disimpan bercampur.

“Selain 42,520kg daging babi dan 6,528kg daging ayam sejuk beku, rampasan turut membabitkan dua lori, sebuah kereta, sebuah jentera pengangkat serta peralatan memproses dan memotong daging.

“Kes disiasat mengikut Akta Makanan 1983, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian serta Akta Imigresen 1959/63,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here