BARISAN Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mungkin terus mendesak Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) diadakan lebih awal bagi memanfaatkan momentum politik jika kerjasamanya menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Sabtu ini.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata, kedua-dua gabungan mungkin bimbang momentum itu terjejas susulan perkembangan politik baharu, termasuk siasatan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam beberapa pendedahan.

Beliau tidak menamakan nama parti atau pemimpin tetapi sebelum ini Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom berdepan pertuduhan berkait salah guna kuasa kontroversi Lembaga Tabung Haji, namun kedua-duanya mengaku tidak bersalah.
Dr Mazlan yang juga Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata, Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang juga mungkin mempengaruhi perkiraan politik BN-PN menjelang PRU-16.
“Hari ini banyak isu didedahkan dan disiasat SPRM, mungkin dalam tempoh setahun lebih ini dikhuatiri mengubah tempo politik yang akhirnya memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).
“Jadi sebab itu saya fikir BN-PN mahu pilihan raya segera,” katanya yang berpandangan peluang kedua-dua gabungan untuk menang lebih cerah jika PRU-16 diadakan dalam masa terdekat, lapor FMT.
Pada PRN Johor Julai lalu, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN manakala kerjasama BN-PN menguasai 25 daripada 36 kerusi di Negeri Sembilan pada Ogos, sekali gus membentuk kerajaan negeri.
Isnin lalu, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kemenangan BN-PN di Melaka mampu mencetuskan perkembangan politik baharu dan meningkatkan tekanan terhadap PH pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Parlimen sepatutnya dibubarkan bagi membolehkan mandat baharu diberikan kepada rakyat berbanding mengadakan rombakan Kabinet ketika ini.
Rombakan itu mungkin berlaku susulan peletakkan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperintahkan menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah, berkuat kuasa semalam.
Bagaimanapun, Mazlan berkata kemenangan di Melaka tidak semestinya membawa kepada PRU-16 lebih awal kerana pembubaran Parlimen tertakluk kepada nasihat Perdana Menteri dan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, Anwar tidak mempunyai sebab untuk membubarkan Parlimen selagi mendapat sokongan majoriti di Dewan Rakyat, terutama selepas CSA dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang dan bebas mengukuhkan kedudukan kerajaan.
Kerajaan pada 29 Oktober lalu memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen, terdiri enam wakil Bersatu diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, enam bekas wakil parti itu dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
“Saya tak nampak kenapa Anwar akan bubarkan Parlimen. Perdana Menteri mesti tunggu sampai mandat itu berakhir pada Februari 2028,” katanya.
Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Prof Dr Azmi Hassan berpandangan, Anwar tidak mempunyai sebab untuk memenuhi desakan BN-PN, terutama ketika PH turut berdepan cabaran politik termasuk isu penangguhan pelaksanaan tahanan rumah Najib.

“Jadi kalau menang besar BN dan PN di Melaka ini akan menguatkan lagi Anwar untuk tidak membubarkan Parlimen kerana untuk bubar Parlimen selepas Melaka.
“Walaupun tekanan akan menjadi lebih kuat, ia tidak memberi faedah kepada PH,” katanya.





