Hak mohon pengampunan terpakai kepada semua, bukan keistimewaan golongan tertentu – Saifuddin

HAK memohon pengampunan tidak seharusnya dianggap sebagai keistimewaan individu tertentu kerana undang-undang memberikan hak itu kepada semua orang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan wujud layanan dua darjat berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dilihat berdasarkan proses serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Orang itu berhak untuk mengangkat atau memohon pengampunan. Itu hak semua orang. Orang kaya, orang miskin, orang kecil, orang besar. Itu undang-undang sebut begitu,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Saifuddin Nasution menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) yang membangkitkan kemungkinan timbul persepsi hukuman dua darjat susulan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib.

Beliau menjelaskan, proses pengampunan membabitkan tiga peringkat utama iaitu hak individu mengemukakan permohonan, pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan dan pelaksanaan keputusan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Penjara.

Katanya, kuasa untuk mempertimbangkan dan memberikan pengampunan terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan seperti diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, KDN tidak mempunyai kuasa untuk menentukan keputusan berhubung permohonan pengampunan berkenaan.

Sebaliknya, tanggungjawab kementerian hanya bermula selepas keputusan dibuat, dengan pelaksanaannya perlu berpandukan asas perundangan serta prosedur yang jelas.

“Tapi kalau sudah dapat (keputusan pengampunan) menjadi tanggungjawab kami untuk pastikan arahan yang dilaksanakan oleh Jabatan Penjara itu mempunyai asas undang-undang dan prosedur yang jelas,” katanya.

Mengulas persepsi masyarakat mengenai kemungkinan wujud layanan berbeza terhadap bekas pemimpin itu, Saifuddin mengakui tanggapan sedemikian sukar dielakkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemahaman terhadap proses dan bidang kuasa setiap pihak penting bagi memastikan pelaksanaan keputusan pengampunan tidak menyimpang daripada lunas undang-undang.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here