Malaysia-Taiwan: Hubungan perdagangan, pelaburan tidak terjejas – PM

HUBUNGAN perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Taiwan kekal baik meskipun timbul kenyataan sebelum ini yang menyifatkan Taiwan sebagai sebahagian daripada China.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan itu tidak menjejaskan hubungan ekonomi kedua-dua pihak, malah nilai perdagangan Malaysia dengan Taiwan menunjukkan peningkatan ketara bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Beliau berkata, eksport Malaysia ke Taiwan dalam tempoh berkenaan mencecah RM116.58 bilion, manakala import dari negara itu berjumlah RM137.67 bilion.

“Apakah (hubungan) terjejas? Setakat ini, tidak. Sehingga tahun ini, import dan eksport melonjak sangat tinggi.

“Dari Januari hingga September 2026, eksport kita ke Taiwan RM116.58 bilion, manakala import RM137.67 bilion.

“Maknanya eksport kita meningkat 88 peratus, import 24.2 peratus. Jadi jumlah perdagangan itu besar, RM254.21 bilion,” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta penjelasan mengenai laporan Taiwan menggantung rundingan pelaburan dengan Malaysia susulan kenyataan berhubung status Taiwan, serta kemungkinan kesannya terhadap perdagangan dua hala dan aliran pelaburan sedia ada.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan tiada rundingan rasmi pelaburan antara Malaysia dengan Taiwan seperti yang dilaporkan, sebaliknya kerjasama ekonomi kedua-dua pihak dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Kerjasama Ekonomi.

Katanya, mesyuarat jawatankuasa berkenaan yang sebelum ini ditangguhkan sudah dirujuk semula kepada pihak Taiwan bagi membolehkan perbincangan diteruskan.

“Apakah ada rundingan? Ini tidak ada. Istilah rundingan tidak ada. Yang ada itu jawatankuasa kerjasama ekonomi. Itu betul.

“Jawatankuasa kerjasama ekonomi yang ditangguhkan hari itu dan sekarang kita sudah merujuk kepada mereka minta mesyuarat itu diteruskan,” katanya.

Anwar berkata, Malaysia komited mengekalkan hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan yang baik dengan Taiwan, namun pendirian itu perlu selari dengan Dasar Satu China yang mengiktiraf Beijing sebagai kerajaan bagi satu China.

“Dari sudut dasar, pendirian kerajaan tidak berubah. Dasar Malaysia sejak 1974, terus dipegang kerajaan ketika ini dan ia adalah Dasar Satu China,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here