SATU lagi mayat mangsa tragedi kepala air di Sungai Pertak di Kampung Pertak, Kuala Kubu Bharu Isnin lalu, ditemukan berhampiran kawasan Empangan Sungai Selangor pagi ini.
Penemuan pada jam 10.15 pagi itu menjadikan jumlah mangsa yang ditemukan setakat ini meningkat kepada enam orang, manakala dua lagi masih belum ditemukan.
Mayat yang identitinya belum dikenal pasti itu dibawa ke Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) untuk tindakan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini turut memberi tumpuan di Sektor A selepas pasukan mengesan bau yang dipercayai berpunca daripada mangsa di kawasan berkenaan.
Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Isnin lalu, lapan lelaki dihanyutkan arus deras ketika berada di kawasan Lata Jebus.
Daripada jumlah itu, lima mangsa ditemukan lemas semalam, manakala tiga lagi masih hilang.
Mangsa pertama, V Vijayan, 36, warga tempatan ditemukan kira-kira jam 1.30 pagi di kawasan Jambatan Pertak, kira-kira 2.7 kilometer dari lokasi kejadian.
Empat lagi mangsa ditemukan pada pagi hari sama, dengan tiga daripadanya dijumpai kira-kira 9.20 pagi di kawasan Jambatan Senget, kira-kira 950 meter dari Lata Jebus manakala seorang lagi ditemukan pada 10.12 pagi di kawasan Jambatan Gantung, kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.
Dua daripada mangsa dikenal pasti sebagai Kapali, 49, warga Nepal dan Kunjanmalayil Bhaskaran, 35, warga India, manakala identiti dua lagi lelaki warga India dan Sri Lanka belum dikenal pasti.
Tiga mangsa yang masih hilang ialah Al Maamari Ahmed Hadi Ali, 20, warga Yaman; Chinnasamy Duraimurugan, 36, dan Monikkoth Raghunath, kedua-duanya warga India.





