PENGERUSI DAP Gobind Singh Deo berkata, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi boleh meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri sekiranya beliau tidak lagi yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Gobind yang juga Menteri Digital menyifatkan cadangan Zahid supaya Parlimen dibubarkan sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila keputusan berhubung perkara itu terletak pada Anwar.

Katanya, jemaah Menteri berfungsi dengan baik dan ekonomi negara berada dalam keadaan stabil. Malaysia juga kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik meskipun negara lain berdepan pelbagai cabaran.
“Jika beliau (Zahid) tidak yakin dengan kepimpinan (Anwar), beliau boleh meletakkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri,” katanya
“Jika UMNO dan Barisan Nasional tidak bersetuju dengan Anwar atau tidak yakin kepadanya, mereka boleh meletakkan jawatan. Tidak perlu mendesak perdana menteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Minggu Kesiapsiagaan AI Kebangsaan di Kuala Lumpur, hari ini.
Gobind turut mengingatkan Zahid dan anggota Jemaah Menteri lain supaya menghormati kedudukan Anwar sebagai Perdana Menteri kerana pelantikan mereka dibuat atas keputusan beliau.
“Mereka perlu menghormati kedudukan Perdana Menteri. Pelantikan mereka sebagai anggota Jemaah Menteri adalah atas keputusan Perdana Menteri. Jadi, tunjukkanlah sedikit rasa hormat.
“Jika tidak yakin kepadanya, jangan minta Perdana Menteri membubarkan Parlimen. Letak sahaja jawatan. Mudah,” tambahnya.
Pada Selasa, Ahmad Zahid berkata pembubaran Parlimen lebih baik daripada rombakan Jemaah Menteri kerana beliau tidak melihat keperluan untuk membuat sebarang perubahan dalam Kabinet.
Beliau berpandangan mandat baharu perlu diperoleh daripada rakyat sebelum sebuah kerajaan baharu dibentuk.
Kenyataan Zahid itu dibuat ketika timbul spekulasi mengenai rombakan Kabinet susulan tempoh perkhidmatan Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sebagai senator yang akan tamat pada 11 Disember, serta peletakan jawatan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook.
Bagaimanapun, Anwar berkata masih terlalu awal untuk membincangkan kemungkinan rombakan Kabinet dan beliau tidak mengetahui perkembangan berhubung jawatan yang diperkatakan itu.
Sementara itu, Gobind berkata DAP menyerahkan kepada Anwar untuk menentukan pengganti Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, yang meletakkan jawatan sebagai menteri pengangkutan berkuat kuasa serta-merta pada Selasa.
Ditanya sama ada DAP telah mencadangkan calon bagi menggantikan Loke, Gobind menegaskan keputusan itu terletak pada perdana menteri.





