LIBYA perlu memperkukuh pembangunan bakat, kemahiran profesional dan produktiviti tenaga kerja bagi meningkatkan daya saing ekonomi serta menarik lebih banyak pelaburan asing, khususnya dalam sektor ekonomi baharu.
Keperluan itu antara perkara yang diketengahkan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM) merangkap Pengasas Pusat Kajian Kemakmuran Nusantara @ MPM, Datuk Dr Hasan Mad ketika membentangkan pandangan pada Forum Ekonomi Libya Kali Kedua di Tripoli, Libya semalam hingga hari ini.
Beliau turut menyarankan supaya Malaysia dan Libya memperluas perkongsian pengalaman, khususnya dalam pembangunan tenaga kerja mahir, pendidikan teknikal dan vokasional serta peningkatan produktiviti bagi memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Hasan merupakan antara empat pakar antarabangsa yang dijemput menyertai forum anjuran bersama Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan Libya (NESDB) serta Kesatuan Umum Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pertanian Libya.
Dalam pembentangan bertajuk Perubahan Antarabangsa dan Geopolitik serta Kesannya terhadap Ekonomi Tempatan dan Antarabangsa, beliau mengupas pencetus perubahan geopolitik dunia, pendekatan Malaysia menghadapinya serta pengalaman yang boleh dikongsikan dengan Libya.
Menurutnya, perubahan geopolitik global banyak dipengaruhi tiga kelompok utama, iaitu kuasa besar ekonomi dunia, institusi dan organisasi berpengaruh antarabangsa serta media utama yang mempunyai pengaruh luas terhadap pembentukan pandangan dan dasar dunia.
Katanya, gabungan pengaruh ketiga-tiga kelompok itu mencetuskan perubahan geopolitik yang semakin kompleks, pantas dan dinamik, sekali gus memberi kesan kepada ekonomi antarabangsa.
“Sehubungan itu, Malaysia sebagai negara kuasa pertengahan perlu mempunyai strategi tersendiri bagi mengekalkan daya saing dan kelangsungan ekonominya, bukannya sekadar memilih untuk berpihak kepada mana-mana kuasa besar.
“Sebaliknya, Malaysia perlu bertindak secara bijaksana, strategik dan pragmatik dalam mendepani perubahan landskap geopolitik antarabangsa,” kata beliau.
Hasan turut berpandangan Libya mempunyai kedudukan yang hampir sama dengan Malaysia sebagai negara kuasa pertengahan yang berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam ekonomi serantau dan antarabangsa.
Walaupun mempunyai penduduk sekitar 7.4 juta orang dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahunan kira-kira AS$57 bilion, Libya berpotensi memainkan peranan penting dalam ekonomi serantau dan benua Afrika.
Beliau berkata, Malaysia dan Libya mempunyai persamaan dari segi keupayaan, cita rasa serta pendekatan dalam menghadapi cabaran geopolitik.
“Hubungan kedua-dua negara juga mempunyai asas sejarah sejak krisis tebusan di Kuala Lumpur pada 1975 yang membabitkan kumpulan Tentera Merah Jepun (JRA), apabila Libya memainkan peranan dalam usaha membantu menyelesaikan krisis berkenaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hasan menekankan kepentingan Libya memperkukuh pembangunan bakat, perkongsian ilmu dan kemahiran digital bagi meningkatkan keyakinan pelabur asing serta merangsang pelaburan domestik.
Katanya, meskipun tahap literasi rakyat Libya dianggarkan antara 91 hingga 98 peratus, dengan purata usia penduduk sekitar 28 tahun, penguasaan ilmu semata-mata belum mencukupi untuk memenuhi keperluan ekonomi baharu.
Sebaliknya, Libya perlu segera membangunkan program pembangunan bakat bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan profesional, termasuk dalam bidang pengurusan, selaras dengan keperluan pelabur dalam pelbagai sektor ekonomi.
Beliau mencadangkan supaya dua kementerian utama negara itu, iaitu Kementerian Pendidikan Tinggi serta Kementerian Pendidikan Teknikal dan Vokasional, digembleng secara lebih tersusun bagi melahirkan tenaga mahir dan kepakaran yang diperlukan industri.
Hasan berkata, Malaysia mempunyai pengalaman dalam membangunkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan pelabur, khususnya dalam sektor ekonomi baharu, dan pengalaman itu boleh dikongsikan dengan Libya.
“Bagaimanapun, pembangunan ilmu dan bakat perlu disokong dengan program peningkatan produktiviti tenaga kerja,” tambah beliau.
Beliau menjelaskan produktiviti tenaga kerja merupakan antara faktor penting yang menentukan daya saing sesebuah negara, termasuk keupayaannya menarik pelaburan berkualiti.
Berdasarkan indeks pembangunan manusia yang diketengahkan dalam pembentangannya, Australia, Singapura dan Switzerland mencatatkan paras melebihi 0.91, manakala Malaysia berada sekitar 0.82.
Malaysia turut menyasarkan kedudukan ke-11 dunia menjelang 2030, dengan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) giat melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti, daya saing, kemampanan, keusahawanan dan daya cipta tenaga kerja negara.
Bagi Libya pula, indeks pembangunan manusia dianggarkan berada sekitar 0.71 hingga 0.72. Hasan berkata, negara itu perlu meningkatkan produktiviti tenaga kerja bagi memperkukuh daya saing dan menarik lebih banyak pelaburan.
Beliau mencadangkan kerajaan Libya melaksanakan program pembangunan bakat dan peningkatan produktiviti supaya negara itu mempunyai tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri serta pelabur.
Katanya, peningkatan kemahiran dan produktiviti akan memudahkan usaha menarik pelaburan asing, malah berpotensi mendorong pelabur datang sendiri untuk meneroka peluang ekonomi di Libya.
Pada forum itu, Hasan turut menerima Sijil Keahlian Forum Ekonomi Libya yang disampaikan Pengarah Besar Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Sosial Kebangsaan Libya, Quwaydir Abraheem Quwaydir.
Beliau merupakan antara empat tokoh antarabangsa terawal yang menerima sijil pengiktirafan berkenaan.





