PRINSIP tanggungjawab bersama atau collective responsibility yang menjadi teras pentadbiran negara berteraskan Perlembagaan dan sistem Kabinet kini sedang diuji susulan perbezaan pandangan terbuka antara menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, konsep itu menuntut setiap keputusan yang diputuskan kerajaan khususnya melalui ketetapan Kabinet disokong oleh semua anggota Kabinet terutamanya para menteri.

Menurut beliau, setiap keputusan mestilah bersifat kolektif, dipersetujui oleh semua dan mana-mana ahli Kabinet tidak boleh membuat kenyataan yang bercanggah dengan keputusan rasmi yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri.
“Konsep collective responsibility ini juga membawa maksud kesepakatan dalam pentadbiran negara iaitu setiap menteri yang menganggotai Kabinet sewajarnya tidak mengambil sikap yang bertentangan antara satu sama lain dalam apa-apa isu,” katanya ketika dihubungi utusanmelayuplus hari ini.
Bagaimanapun, katanya, apa yang berlaku sekarang menunjukkan wujud perbezaan pandangan yang ketara antara menteri-menteri PH dan BN sama ada membabitkan keputusan Kabinet, langkah pentadbiran termasuk tindakan Jabatan Peguam Negara, mahupun pendirian politik.
Walaupun sebahagiannya tidak menyentuh keputusan Kabinet, beliau berkata, daripada sudut semangat konsep tanggungjawab kolektif itu, pertelingkahan secara terbuka melalui kenyataan media wajar dielakkan.
“Ia akan menimbulkan persoalan sejauh mana kerajaan yang ada ini benar-benar bulat dan sepakat dalam menangani pentadbiran negara. Ini satu persoalan besar yang perlu difikirkan dalam konteks pentadbiran yang berteraskan kepada prinsip collective responsibility,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, walaupun perbezaan dari sudut kerjasama politik dalam pilihan raya negeri tidak semestinya menggambarkan kepercayaan yang diberikan kepada kerajaan Persekutuan, situasi pertembungan dalam kempen pilihan raya seperti di Johor, Negeri Sembilan dan kini Melaka memberi kesan agak besar kepada kerjasama di peringkat Persekutuan.
“Perkara ini perlu difikirkan lebih serius dan sama ada ingin keluar atau tidak itu terpulang kepada parti-parti yang berada di tampuk kuasa,” katanya.
Beliau berkata, sebagai peneraju kerajaan, Perdana Menteri atau PH mempunyai kuasa untuk membuat rombakan Kabinet dengan mengetepikan menteri-menteri BN.
“Dalam masa yang sama, pemimpin BN pula mempunyai pilihan untuk keluar atau meletakkan jawatan daripada Kabinet. Dua-dua situasi ini wujud dan terpulang kepada mereka untuk membuat pertimbangan,” katanya.
Menurut beliau, apa yang penting, jika mereka masih boleh fokus kepada pentadbiran negara tanpa terjebak dengan pertikaian politik yang menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat, maka mereka perlu mengambil sikap yang lebih profesional walaupun sedang berada di dalam medan pilihan raya.
“Tetapi jika sekiranya mereka merasakan perlu ditetapkan untuk berpisah, maka mungkin itu pilihan yang terbaik. Jadi bagi saya itu merupakan satu pilihan politik yang perlu dibuat dengan mengambil kira kepentingan rakyat khususnya berkaitan dengan kestabilan pentadbiran atau pemerintahan negara,” katanya lagi.





