KERAJAAN Perpaduan kini berdepan tekanan politik yang semakin ketara susulan perseteruan terbuka antara pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keupayaan kedua-dua gabungan mempertahankan kerjasama sehingga tamat penggal pentadbiran.
Ketegangan yang berlarutan meskipun BN berulang kali menyatakan komitmen untuk terus menyokong kerajaan dilihat mencerminkan hubungan politik yang semakin rapuh, terutama apabila perbezaan pendirian antara pemimpin kedua-dua gabungan semakin terbuka dan keras.
Malah, perkembangan itu mencetuskan tanggapan bahawa Kerajaan Perpaduan kini lebih tertumpu kepada usaha mempertahankan kelangsungan pentadbiran berbanding memperkukuh kesepakatan politik yang menjadi asas pembentukannya.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Muhamad Takiyuddin Ismail @ Fakhri berkata, kerajaan ketika ini secara realitinya sudah berada dalam keadaan ‘mod survival‘.

Beliau berkata, perubahan landskap politik yang ketara sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor memperlihatkan hubungan antara gabungan berkenaan tidak lagi seperti ketika Kerajaan Perpaduan mula dibentuk.
“Bukan menjadi rahsia sejak PRN Johor, segalanya telah berubah dengan begitu ketara.
“Walaupun acapkali BN menyatakan akan kekal menyokong, perseteruan dan pertelingkahan yang terus menjalar hingga kini secara terbuka dan keras merupakan manifestasi bahawa perpaduan itu tidak dapat dipertahankan lagi.
“Kedua-dua gabungan mungkin hanya tinggal serumah tapi tidak lagi tidur sebantal,” katanya kepada utusanmelayuplus hari ini.
Mengulas kemungkinan BN mengambil keputusan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, Muhamad Takiyuddin menjangkakan parti itu tidak akan mengambil langkah sedemikian dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, beliau berpandangan pengembalian mandat kepada rakyat wajar dipertimbangkan sebagai salah satu jalan keluar daripada kemelut politik yang berpanjangan.
Katanya, langkah berkenaan tidak semestinya perlu dilaksanakan dalam masa terdekat, namun pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum lebih awal daripada tamat tempoh mandat semasa boleh menjadi pilihan.
“Saya jangkakan BN tidak akan berbuat demikian walaupun saya kira itulah antara jalan keluar terbaik.
“Saya kira mengembalikan semula mandat harus dijadikan pertimbangan. Mungkin bukan dalam waktu terdekat tapi yang pastinya lebih awal dari berakhirnya mandat. Mungkin suku tahun pertama tahun hadapan,” katanya.





