SEORANG pelarian Myanmar didenda RM3,500 oleh Mahkamah Majistret Butterworth hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan milik individu lain bagi tujuan pendaftaran dan penggunaan kad Touch ‘n Go.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menjatuhkan hukuman itu terhadap Ajimul Khan Syafiullah, 41, dan memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kad pengenalan milik individu lain bagi tujuan penggunaan kad Touch ‘n Go di Jalan Bertam 2, di sini, kira-kira jam 4 petang, 3 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Ahmad Faris Khairudin yang mewakili tertuduh memohon hukuman denda minimum dengan alasan pengakuan bersalah anak guamnya menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Beliau berkata, tertuduh turut memohon maaf kepada mahkamah dan negara serta berjanji tidak mengulangi kesalahan itu, lapor BH.
Menurutnya, anak guamnya mendakwa mendapatkan khidmat ejen bagi urusan pendaftaran kad berkenaan.
Ahmad Faris turut memaklumkan tiada pinjaman dibuat menggunakan nama pemilik kad pengenalan terbabit, manakala kad Touch ‘n Go berkenaan berbentuk kad debit.
Katanya, tertuduh yang sudah 15 tahun menetap di Malaysia merupakan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mempunyai tanggungan seorang isteri serta empat anak berusia antara dua hingga 16 tahun.
Tertuduh juga merupakan pencari nafkah tunggal keluarga dengan pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan hasil melakukan pelbagai pekerjaan sambilan, termasuk sebagai pekerja stor dan pengangkat barang.





