POLIS sedang mengesan dua lelaki bagi membantu siasatan kes samun bersenjata di kedai emas Permata Al-Idrus di Batu Enam, Gong Badak, Kuala Terengganu, yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM500,000, semalam.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner Suffian Sulaiman berkata, dua individu berkenaan ialah Mohammad Amin Ridhuan Haji Ismail, 36, yang dikenali sebagai Dik Min atau Mat Amin, dan Muhammad Hafizul Affendi Abdul Fattah, 27, atau Mat Long.
Beliau meminta kedua-dua individu itu tampil menyerah diri di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali kedua-dua individu berkenaan diminta tampil membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 10.45 pagi apabila dua lelaki dipercayai berbangsa Melayu memasuki premis berkenaan dengan memakai topi keledar dan menutup muka.
Katanya, suspek kemudian melarikan tiga dulang barang kemas yang dianggarkan bernilai RM500,000 sebelum meninggalkan lokasi menggunakan sebuah kereta Perodua Axia berwarna putih.
Hasil tindakan pantas polis, kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ditemukan di Kampung Pak Yuyu, Mengabang Telipot, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari pada hari sama.
“Pemeriksaan forensik oleh Bahagian Siasatan Forensik (D10), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Terengganu ke atas kenderaan itu turut menemukan kesan cap jari positif,” katanya.



