POLIS sedang memburu lima lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki berusia 42 tahun di Semenyih, Kajang, pada hujung bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai 15 suspek termasuk dua warga asing ditahan setakat ini, dengan sebahagiannya sudah didakwa di mahkamah.
Beliau berkata, tangkapan dibuat susulan kehilangan mangsa pada 24 September lalu sebelum mayatnya ditemukan pada 27 September.
“Siasatan dan tangkapan terhadap suspek dijalankan susulan laporan yang dibuat oleh isteri mangsa selepas beberapa jam gagal menghubungi suaminya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurutnya, lima suspek yang masih diburu dikenali sebagai Dedek, Jimmy Boy, Amen, Yeye dan Apak, berusia antara 35 hingga 48 tahun, dan dipercayai masih berada di Selangor.
Beliau berkata, siasatan mendapati hampir kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah serta dipercayai terbabit dalam kegiatan gangsterisme.
Shazeli berkata, mangsa dipercayai dilarikan sekumpulan individu menggunakan sebuah kereta di kawasan Ampang Waterfront antara jam 4 pagi hingga 4.30 pagi pada 24 September lalu.
“Pada 27 September lalu, kami dibawa ke lokasi mangsa dibunuh sebelum ditanam di sekitar Semenyih, Kajang.
“Mangsa dipercayai dikurung dan diseksa sebelum dibunuh dan ditanam. Bedah siasat mendapati punca kematian ialah multiple incised wounds to the neck,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek.
Penemuan mayat membawa kepada beberapa siri tangkapan, selain rampasan dua laras senapang, sebuah Proton Wira dan sebatang cangkul yang dipercayai digunakan untuk menanam mangsa.
Shazeli berkata, sebahagian daripada 15 suspek yang ditahan sudah didakwa di Mahkamah Ampang dan Bangi, semalam, atas pelbagai pertuduhan termasuk melarikan orang, membunuh, bersubahat dalam pembunuhan serta kesalahan berkaitan senjata api dan imigresen.





