POLIS masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian seorang wanita yang ditemukan terapung tanpa pakaian di sungai berhampiran pusat beli-belah di Pekan Lama, Sungai Petani, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kes itu setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu hasil bedah siasat.
Menurutnya, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan wanita berkenaan dianggarkan berusia lingkungan 30-an tahun ke atas.
“Kecederaan dikesan pada muka dan kemaluan akibat dimakan haiwan. Namun, kita masih menunggu laporan bedah siasat dilakukan ke atas mayat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang individu dipercayai wanita ditemukan terapung tanpa pakaian di kawasan sungai di belakang pusat beli-belah di Pekan Lama.
Mayat itu dipercayai telah meninggal dunia kira-kira 48 jam berdasarkan keadaan fizikal yang menunjukkan proses pereputan.
Sehubungan itu, Hanyan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, khususnya wanita, supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan dan proses pengecaman.





