Kerajaan belum bincang pengganti Anthony Loke – Fahmi

KERAJAAN MADANI belum membincangkan soal pengganti Menteri Pengangkutan, Anthony Loke susulan peletakan jawatan beliau baru-baru ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, perkara itu tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum menerima surat peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP itu.

Beliau berkata, seperti dimaklumkan Anwar pada satu majlis di Melaka malam tadi, Perdana Menteri berhasrat mengadakan pertemuan dengan Anthony bagi membincangkan perkara itu.

“Perkara ini tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini dan seperti yang Perdana Menteri nyatakan di satu acara di Melaka malam tadi, beliau belum lagi menerima surat peletakan jawatan.

“Beliau berhasrat untuk mengadakan perbincangan dan pertemuan dengan Anthony dan tidak ada apa-apa perkembangan setakat ini dalam hal ini,” katanya dalam sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Fahmi menjawab pertanyaan bertulis media adakah kerajaan telah mengenal pasti pengganti Anthony sekiranya peletakan jawatan beliau diterima dan bila pengumuman mengenai penggantinya akan dibuat.

Anthony sebelum ini mengumumkan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, kerajaan setakat ini belum membuat sebarang keputusan berhubung pengganti Anthony sekiranya peletakan jawatan itu diterima Perdana Menteri.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here