Pejabat Presiden Pas dakwa kenyataan Abdul Hadi dipetik di luar konteks

KENYATAAN Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung kepimpinan bukan Islam yang mencetuskan kritikan pelbagai pihak didakwa dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.

Pejabat Presiden Pas dalam kenyataan berkata, ucapan asal Abdul Hadi bertujuan menjelaskan konsep politik dalam Islam yang berteraskan pertimbangan dosa dan pahala bagi memastikan pemerintahan yang adil serta menjamin hak masyarakat bukan Islam.

Menurut kenyataan itu, pihaknya kesal dengan naratif pemberitaan yang boleh mencetuskan salah faham, selain menolak sebarang usaha memainkan sentimen perkauman menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Pihak kami kesal dengan naratif pemberitaan yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat dan menolak sebarang sentimen perkauman yang cuba dimainkan menjelang hari pengundian PRN Melaka,” kata kenyataan itu.

Kontroversi itu tercetus selepas sebuah portal berita dalam talian semalam melaporkan Abdul Hadi ketika berkempen di Bukit Katil mendakwa: `seburuk-buruk orang Islam yang memerintah negara tidak seburuk orang bukan Islam yang disifatkannya sebagai zalim’.

Beliau turut mengaitkan tanggungjawab mengundi dengan pertimbangan dosa dan pahala, sambil mendakwa kegagalan umat Islam keluar mengundi boleh menyebabkan pihak lain mengambil alih pemerintahan dan membuat keputusan berdasarkan perkiraan mereka sendiri.

Kenyataan itu kemudian mendapat reaksi Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan agama sepatutnya menjadi asas penyatuan masyarakat, bukannya digunakan sebagai sentimen untuk memecahbelahkan rakyat.

Saifuddin Nasution berkata, Islam tidak menjadi mulia dengan merendahkan agama lain, sebaliknya melalui nilai keadilan, akhlak, ilmu, amanah serta contoh kepimpinan yang baik.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Abdul Hadi sebagai amat dikesali kerana meletakkan ukuran keadilan dan kezaliman berdasarkan agama seseorang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here