SEORANG wanita terpaksa menahan kesakitan hampir lapan jam apabila lima bentuk cincin suasa yang dipakainya tersekat pada jari tangan kiri akibat bengkak sebelum berjaya ditanggalkan dengan bantuan bomba, hari ini.
Mangsa yang berusia 44 tahun itu difahamkan datang ke Baling untuk melakukan aktiviti di kawasan berkenaan sebelum berdepan masalah apabila cincin dipakainya gagal ditanggalkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat khas memotong cincin pada jam 8.21 pagi.
Menurutnya, mangsa sebelum itu mendapatkan bantuan di hospital, namun cincin berkenaan gagal ditanggalkan sebelum doktor mencadangkan supaya ia dipotong bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih serius.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohamad Ibrahim bersama empat anggota di bilik kecemasan Hospital Baling.
“Difahamkan, keadaan jari mangsa ketika itu sudah membengkak dan berbau busuk akibat cincin yang terlalu ketat serta tersekat dalam tempoh lama.
“Operasi dilakukan dengan berhati-hati menggunakan peralatan khas pemotong cincin untuk mengelakkan kecederaan lebih serius.
“Operasi mengambil masa kira-kira satu jam setengah untuk memotong kesemua lima cincin suasa yang tersangkut itu dan jari mangsa sudah bernanah,” katanya, lapor Harian Metro.





