Selangor peruntuk lebih setengah bilion ganti paip usang mulai 2027

KERAJAAN negeri Selangor memperuntukkan RM559 juta pada 2027 untuk menggantikan paip usang di negeri itu dalam usaha menjamin bekalan air yang lebih stabil kepada pengguna.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, terdapat lebih 6,000 kilometer (km) paip usang yang perlu diganti dan bagi mempercepatkan usaha itu, bermula 2024 kerajaan negeri telah meningkatkan peruntukan tahunan.

“Program penggantian paip telah mula dilaksanakan sejak 2016 dengan sasaran tahunan sepanjang 150 km.

“Namun, bagi mempercepatkan pelaksanaan program itu bermula 2024 kerajaan negeri dan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah meningkatkan kadar penggantian paip usang kepada 300 km setahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2027 di Shah Alam hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata, sepanjang 1,231.01 km paip usang telah selesai digantikan sehingga Ogos lepas.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM120.8 juta bagi Program Penurunan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) yang merangkumi antaranya pemasangan Pressure Transient, Permanent Leak Noise Correlating Loggers (PLNCL) dan Advance Pressure Management Systems (APMS).

“Kadar NRW disasarkan turun kepada 26.3 peratus tahun ini dan 25.8 peratus pada 2027, berbanding 26.8 peratus pada 2025.

“Penurunan 0.5 mata peratus setahun ini selari dengan sasaran yang dikemukakan Air Selangor kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN),” katanya.

Amirudin berkata, RM101 juta turut diperuntukkan untuk menjamin bekalan air bersih termasuk menerusi Skim Jaminan Air Mentah, yang bertujuan melindungi operasi loji daripada gangguan akibat pencemaran.

Selain itu, katanya, untuk perancangan jangka panjang, RM3.5 juta diperuntukkan untuk kajian Pelan Induk Air Negeri Selangor yang akan menyelaraskan pengurusan air mentah, air terawat dan air kumbahan dengan pengurusan banjir dijangka siap pada 2028.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here