DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan, dasar Malaysia tidak akan diolah berdasarkan emosi dan kebencian.
Perdana Menteri berkata, ada pihak yang marah dan mendakwa Presiden Amerika Syariklat, Donald Trump dilaknat tuhan dan sesiapa yang menyokongnya juga akan menerima nasib sama.
‘’Sentimen sebegini boleh menjadikan negara kita bahan jenaka,’’ katanya dalam sidang akhbar hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan berkaitan keputusan menerima kunjungan Trump ke negara ini.
Anwara seterusnya menegaskan, jika Malaysia memperoleh peluang untuk bertemu pemimpin-pemimpin utama dunia, ia wajar dimanfaatkan untuk menyuarakan pandangan dan mempertahankan kebenaran.
Mengenai perbualan beliau bersama Trump di dalam ‘The Beast’ – kereta rasmi Presiden AS itu – Anwar berkata, beliau berpeluang menyampaikan pandangan peribadinya dalam pelbagai perkara termasuk isu Gaza.
Katanya, rundingan peribadi ’empat mata’ beliau dengan Trump menjadi lebih mudah, memandangkan pemimpin AS itu seorang pendengar yang baik.
“Saya harus mengakui bahawa beliau mendengar saya dengan teliti. Saya rasa, sudah berusaha sebaik mungkin untuk sampaikan suara ini (tentang Gaza). Jika beliau tidak berada di sini, tidak akan ada peluang (untuk bercakap secara terus).
“Saya sehabis baik memujuknya untuk mengatakan bahawa inisiatif keamanan mesti komprehensif, mesti bertahan lama, mesti adil,” katanya.
Anwar berkata, Trump menerima baik gesaannya dan memberikan pandangan balas, namun perbualan diplomatik antara pemimpin tidak sewajarnya dikongsi kepada umum.
Perdana Menteri berkata, Trump juga menyatakan pandangan terhadap beberapa isu terutama berkaitan China dan mengapa Malaysia mengundang Brazil dan Afrika Selatan pada sidang kali ini.
“Beliau memberikan beberapa pandangan. Saya juga tidak setuju tentang sesetengah isu dibangkitkan. Mungkin dia mahu tahu, tentang peraturan, negara jiran. Mengenai tarif 19 peratus, masih tinggi bagi kami, tetapi kini beliau sudah mengenakan tarif sifar terhadap kemudahan utama eskport kita,” katanya.
Sementara itu,Anwar membidas kritikan yang mendakwa ASEAN dan Malaysia gentar terhadap tekanan AS dengan menegaskan blok serantau itu memuktamadkan perjanjian perdagangan yang dinaik taraf dengan China hanya sehari selepas pertemuan pemimpin ASEAN dengan Trump.
Beliau turut menyatakan keyakinan Malaysia dalam keupayaannya menguruskan hubungan strategik dengan dua kuasa besar dunia itu.
“Sejurus Trump berlepas (Isnin), kita tandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-China (ACFTA) 3.0 yang dinaik taraf (hari ini). Ini membuktikan dasar luar kita seimbang dan berani.
“Sekiranya kita takut dengan AS, sudah tentu mustahil untuk kita tandatangani satu perjanjian besar dengan China hanya sehari selepas Trump berlepas,” katanya
Anwar berkata, tindakan itu mencerminkan kebijaksanaan diplomatik kolektif negara Asean, menyatakan pendekatan Malaysia sentiasa berpaksikan prinsip serta kepentingan nasional.


