Kemelut politik dalaman Bersatu semakin teruk, Wan Fayhsal akui kata Muhyiddin tidak lagi relevan

KEMELUT politik di dalam Bersatu semakin buruk sejak penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal dan pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan.

Sumber memberitahu, Utusanmelayuplus, pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh kedua-dua Ahli Parlimen banyak memberi kesan kepada Bersatu.

‘’Dalam kalangan sebahagian besar ahli Bersatu, mereka terkejut dengan tindakan ke atas dua ahli Parlimen itu..pada masa sama imej Bersatu turut terjejas dalam kalangan rakyat,’’ kata sumber tersebut.

Sumber berkata, ketika ini semua sedang menanti apakah tindakan Muhyiddin sama ada mahu bertahan atau berundur.

‘’Tindakan seorang demi seorang pemimpin membuat kenyataan mempertahankan Muhyiddin hanya memburukkan keadaan kerana ia menghangatkan lagi situasi dalam Bersatu,’’ kata sumber tersebut.

SEMENTARA ITU, walaupun sedang berhadapan dengan penggantungan dan mungkin boleh dipecat daripada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal terus lantang membangkitkan dan menjawab kemelut yang berlaku parti itu.

Hari ini di Bangunan Parlimen, Ahli Parlimen Machang itu berkata, beliau sudah menyatakan secara dalaman bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi relevan sebaik  sahaja Bersatu kalah teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, masing-masing pada 2021 serta 2022.

Dalam mesyuarat itu, beliau membangkitkan beberapa isu antaranya kempen yang dijalankan pada PRN berkenaan tidak kena gaya kerana terlalu berpaksikan individu iaitu Muhyiddin.

“Saya mengaku saya adalah orang yang dalam mesyuarat ARMADA cakap abah (Muhyiddin) tidak lagi relevan. Saya cakap dalam mesyuarat, secara dalaman bukan dekat luar.

“Kenapa (saya cakap abah tak relevan)? Lihat saja prestasi (PRN) waktu itu di Johor dan Melaka. Abah gagal untuk memimpin kemenangan. Kempen juga salah kerana fokus semata-mata individu.

“(Muhyiddin) Bukan seperti (Datuk Seri) Najib (Razak). Dia adalah ‘Bossku’. Dia ada legasi 10 tahun yang dia boleh ungkit. Abah? (pengalaman uruskan) Covid-19 pun susah nak yakinkan orang lain.

“Sebagai Ketua Pemuda ketika itu, saya pergi ke akar umbi, cakap kepada pengundi dan mereka beritahu saya (perkara) ini. Saya beritahu ‘budak-budak’ saya jangan berkempen guna nama ‘abah’ kerana tak kena dengan apa pengundi nak masa itu,” katanya pada sidang media.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Muhyiddin, Datuk Dr Marzuki Mohamad, yang mendakwa gerakan menjatuhkan Muhyiddin sudah lama bermula sejak peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 2021.

Kata Marzuki, berdasarkan pemerhatiannya, berlaku perubahan sikap yang ketara dalam kalangan beberapa pemimpin kanan parti selepas peletakan jawatan itu.

Mengulas lanjut Wan Ahmad Fayhsal berkata apa dilakukan gabungan parti berkenaan lebih berkesan berbanding kempen Bersatu dan PN.

“UMNO masa PRN Johor lebih berani dengan mengetengahkan slogan ‘Kemakmuran Demi Kestabilan’ dan ia menjadi. Masa itu, mereka tak stabil dan dengan pendekatan itu, mereka menang besar.

“Kepada Marzuki, dia cumalah seorang penganalisis, saya orang politik. Berbeza pemerhatian. Bila cakap cakap, dia tak suka, tak selesa. Adakah saya salah? Adakah saya biadab? Adakah saya cakap dekat luar bahawa abah tak menunjukkan prestasi baik.

“Dekat khalayak, saya pertahankan abah termasuk sewaktu dia kena dakwa (di mahkamah). Saya buat bermacam-macam, sedaya mungkin semasa saya ketua pemuda dulu,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img