KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) dijangka menerima empat lagi pesawat tempur ringan FA-50M pada April tahun depan, menjadikan enam unit aset berkenaan diterima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penghantaran empat pesawat tambahan yang dibangunkan Korea Aerospace Industries (KAI) itu akan menyusul selepas dua unit pertama diterima pada akhir Oktober lalu.
“MINDEF telah menerima dua pesawat berkenaan pada akhir Oktober lalu. Sebelum LIMA, kita akan menerima empat lagi pesawat.
“Selepas itu, kita akan menerima secara berfasa keseluruhan 18 pesawat menjelang Mac 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat MADANI – Malaysia Defence Intelligence Organisation (MDIO) di Sekolah Kebangsaan Panchor di Kota Tinggi hari ini, lapor BH.
Menurutnya, kesemua 18 pesawat tempur ringan itu akan ditempatkan di TUDM Kuantan, Pahang.
Katanya, penempatan pesawat berkenaan di lokasi lain hanya akan dipertimbangkan selepas pesawat Hawk milik TUDM ditamatkan perkhidmatannya.
Pada 30 Oktober lalu, Mohamed Khaled menerima dua pesawat FA-50M pertama yang diperoleh TUDM, sekali gus menandakan perkembangan penting dalam usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Kedua-dua pesawat itu tiba di Pangkalan Udara TUDM Labuan selepas diterbangkan dari Sacheon, Korea Selatan.
Malaysia memeterai kontrak perolehan 18 pesawat FA-50M daripada KAI pada 2023 dengan nilai hampir RM4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Perolehan menerusi program Pesawat Latihan Tempur dan Pesawat Tempur Ringan (FLIT-LCA) itu bertujuan menggantikan pesawat Hawk TUDM yang semakin berusia.
Selain melaksanakan misi tempur ringan, FA-50M turut berperanan sebagai pesawat latihan lanjutan bagi juruterbang pejuang.





