MALAYSIA berdepan ribuan cubaan serangan siber setiap bulan, sekali gus menuntut pengukuhan keupayaan pertahanan negara bagi menangani ancaman keselamatan yang semakin kompleks.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ancaman berkenaan termasuk penggodaman dan aktiviti keganasan memerlukan tahap kesiapsiagaan lebih tinggi, khususnya dalam kalangan agensi keselamatan negara.
Beliau berkata, perbincangan sudah diadakan bersama kepimpinan tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memperkasakan unit keselamatan siber pasukan itu.
“Serangan siber ini serius, sel pengganas juga serius, begitu juga penggodaman dan serangan siber.
“Kita berdepan ribuan cubaan serangan dalam tempoh sebulan. Sebab itu kita perlu memperkukuh keupayaan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada pada majlis Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara @ PLKN 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515, di ibu negara hari ini, lapor NST.
Mengulas persediaan golongan muda menghadapi persekitaran keselamatan global yang tidak menentu, Anwar berkata, pertahanan negara tidak lagi boleh bergantung kepada kekuatan ketenteraan konvensional semata-mata.
Sebaliknya, aspek keselamatan siber dan penguasaan teknologi perlu diberikan perhatian seiring perubahan landskap peperangan moden.
Beliau berkata, perkembangan konflik antarabangsa termasuk membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat memperlihatkan penggunaan teknologi ketenteraan canggih serta dron yang semakin meluas.
Justeru, Malaysia perlu menguasai kemahiran berkaitan dan memperkukuh keupayaan teknologi bagi memastikan negara bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman.
Anwar turut mengingatkan bahawa hubungan diplomatik yang baik dengan negara luar tidak seharusnya menyebabkan Malaysia leka atau menganggap keselamatan negara terjamin sepenuhnya daripada ancaman luar.
Beliau berkata, bentuk ancaman keselamatan negara turut berubah mengikut perkembangan semasa, daripada pemberontakan komunis kepada keganasan dan kini serangan siber.
Sehubungan itu, ATM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan lain perlu terus diberikan sokongan bagi memastikan keupayaan mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara sentiasa diperkukuh.





