![]()
PARTI Bersatu meneruskan rentetan kekalahan apabila gagal memenangi sebarang kerusi daripada tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Keputusan itu menyaksikan parti pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan gagal mengulangi pencapaian PRN 2021 apabila berjaya menguasai dua kerusi menerusi gabungan Perikatan Nasional (PN).
Antara calon yang tewas ialah Timbalan Ketua Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang bertanding di DUN Kelebang menentang penyandangnya, Naib Presiden MCA, Datuk Lim Ban Hong daripada Barisan Nasional (BN).
Mohamad Ali yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara pernah bertanding di DUN Sungai Udang atas tiket BN pada PRN 2021, namun gagal memenangi kerusi berkenaan sebelum menyertai Bersatu pada 2024.
Turut gagal mempertahankan pengaruh parti itu ialah bekas ADUN Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee yang bertanding semula dalam pilihan raya kali ini.
Calon lain Bersatu yang tewas ialah Muhammad Rabaie Ab Hamid di Bemban dan Abdullah Mahadi di Sungai Udang, selain tiga lagi calon di Lendu, Pantai Kundor dan Ayer Keroh.
Pada PRN 2021, PN memenangi dua kerusi menerusi Dr Yadzil Yaakub di Bemban dan Dr Aleef Yusof di Sungai Udang, namun kedua-duanya kemudian meninggalkan Bersatu dan menyertai Parti Wawasan Negara (Wawasan).
Kekalahan di Melaka turut memanjangkan rentetan kegagalan Bersatu dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini apabila parti itu tidak memenangi sebarang kerusi di Johor dan Negeri Sembilan.
Di Johor, Bersatu gagal memperoleh kemenangan di kesemua 16 kerusi yang ditandingi, manakala di Negeri Sembilan, semua 24 calonnya yang menggunakan logo parti itu turut tewas.
Parti berkenaan juga gagal memenangi sebarang kerusi pada PRN Sabah tahun lalu, sekali gus menjadikan keputusan di Melaka satu lagi kekalahan menyeluruh dalam siri pilihan raya negeri yang disertainya.
Pada PRN Melaka kali ini, Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri meskipun masih menjadi sebahagian daripada gabungan PN.





