Ab Rauf dicalonkan semula sebagai Ketua Menteri Melaka – Ahmad Zahid

DATUK Seri Ab Rauf Yusoh dicalonkan untuk meneruskan jawatan Ketua Menteri Melaka susulan kemenangan tidak rasmi gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, watikah pencalonan Ab Rauf akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam malam ini.

“Maka dengan ini, saya mengumumkan bahawa Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dengan ini mencalonkan Datuk Seri Utama Dr Abdul Rauf Yusoh sebagai calon Ketua Menteri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan kemenangan tidak rasmi BN-PN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh malam ini.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan memperoleh 24 kerusi membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan negeri dengan majoriti melebihi dua pertiga, sekali gus membuka laluan kepada kesinambungan pentadbiran di bawah kepimpinan Ab Rauf.

Menurutnya, keputusan itu turut mencerminkan penerimaan pengundi terhadap rekod pentadbiran, kestabilan politik dan hala tuju pembangunan yang ditawarkan BN-PN.

“Alhamdulillah, mandat melebihi dua pertiga majoriti ini membuktikan bahawa rakyat Melaka terus memilih rekod pencapaian dan kestabilan serta hala tuju pembangunan yang ditawarkan oleh BN dan PN berbanding retorik politik yang dimainkan sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kemenangan itu sebagai kesinambungan momentum ‘gelombang biru’ yang bermula di Johor, diikuti Negeri Sembilan sebelum diperkukuh menerusi keputusan PRN Melaka kali ini.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama strategik BN-PN yang diterjemahkan sepanjang pilihan raya itu akan terus diperkukuh bagi memastikan pembentukan kerajaan negeri yang lebih stabil, kukuh dan berwibawa.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here