DUN Melaka bubar berkuat kuasa esok, buka laluan PRN

SPEKULASI mengenai kedudukan pentadbiran kerajaan negeri Melaka akhirnya terjawab apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) itu diumumkan bakal dibubarkan secara rasmi berkuat kuasa esok, 23 September.

Pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media hari ini, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dijalankan.

Ab Rauf berkata, permohonan pembubaran berkenaan diperkenankan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam mengikut peruntukan di bawah Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri Melaka 1957.

“Saya telah menghadap Tun Mohd Ali bagi memaklumkan kedudukan DUN Melaka dan seterusnya memohon perkenan untuk pembubaran. Sukacita saya maklumkan beliau telah memperkenankan pembubaran DUN Melaka berkuat kuasa esok,” katanya dalam sidang media di Seri Negeri di Ayer Keroh sebentar tadi, lapor Astro Awani.

Berikutan pembubaran itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi menentukan tarikh pengeluaran writ pilihan raya, hari penamaan calon serta hari pengundian.

Untuk rekod, DUN Melaka mengandungi 28 kerusi keseluruhan dan mandat kerajaan negeri sedia ada sepatutnya berakhir pada 31 Disember depan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here