Gelombang Biru: Selatan sudah tumbang, Putrajaya menanti giliran?

 

KEMENANGAN BN-PN di Melaka selepas kejayaan besar BN di Johor dan Negeri Sembilan memperlihatkan satu perubahan landskap politik yang tidak boleh dipandang ringan. Penyatuan sokongan Melayu semakin terserlah, PKR dan Amanah berdepan kemerosotan pengaruh, manakala Anwar Ibrahim mempunyai tempoh yang semakin mencabar untuk mengembalikan keyakinan rakyat menjelang PRU16.

BN memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan langkah kanan. Momentum yang terbentuk di Johor, disusuli Negeri Sembilan, kini diteruskan di Melaka. Tiga negeri di selatan tanah air memperlihatkan satu arus politik yang semakin jelas dan sukar diketepikan.

Perpaduan ummah, penyatuan Melayu atau gelombang biru – apa sahaja nama yang diberikan – hakikatnya perkembangan ini membawa mesej politik yang cukup besar kepada Putrajaya. Persoalannya, adakah gelombang ini sekadar fenomena politik di selatan tanah air atau petanda kepada perubahan lebih besar yang bakal mengubah landskap politik nasional menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16)?

Di Johor, BN mencatat kemenangan besar dengan memperoleh 48 daripada 56 kerusi DUN. PH hanya memenangi lapan kerusi, terdiri daripada DAP (enam), PKR (satu) dan Amanah (satu). PN pula gagal memenangi sebarang kerusi daripada 33 yang ditandingi.

Kemenangan itu memperlihatkan peningkatan ketara berbanding PRN Johor 2022 apabila BN memperoleh 40 kerusi, manakala PH memenangi 12 kerusi dan PN tiga kerusi.

Di Negeri Sembilan, perkembangan lebih menarik apabila kerjasama BN-PN diterjemahkan kepada kemenangan kedua-dua gabungan. BN memperoleh 18 daripada 25 kerusi yang ditandingi, manakala PN memenangi tujuh daripada 11 kerusi.

PH yang bertanding di semua 36 kerusi hanya memperoleh 11 kemenangan. DAP memenangi sembilan kerusi, PKR dua, manakala Amanah gagal memenangi sebarang kerusi.

Lebih menarik, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan Menteri Besar, Aminuddin Harun, turut tewas di kawasan masing-masing. Kekalahan dua tokoh utama itu membawa tamparan tersendiri kepada PH, sekali gus memperlihatkan bahawa kedudukan dan populariti seseorang pemimpin tidak lagi menjamin kemenangan.

Kini, Melaka melengkapkan gambaran tersebut.

BN memenangi kesemua 21 kerusi yang ditandingi, manakala PN menyumbang tiga kerusi menerusi PAS (dua) dan Wawasan (satu). DAP pula hanya memperoleh empat daripada tujuh kerusi yang ditandingi. Apa yang tinggal untuk PKR dan Amanah?

Tidak ada satu pun kerusi yang dimenangi kedua-dua parti itu. Lebih menyakitkan, bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, yang menjadi antara tokoh utama PH dan calon penting Amanah, turut tewas.

Kekalahan itu bukan sekadar kehilangan satu kerusi DUN. Ia memperlihatkan betapa sukarnya Amanah mempertahankan pengaruhnya dalam kalangan pengundi Melayu, meskipun mempunyai tokoh berpengalaman dan pernah menerajui kerajaan negeri.

Tiga PRN, tiga isyarat politik. BN-PN semakin menemukan formula kerjasama, sementara PH berdepan persoalan besar mengenai sokongan pengundi Melayu.

*BN MEMILIH HALUAN YANG TEPAT?*

Keputusan Melaka juga memperlihatkan mengapa BN akhirnya memilih pendekatan bekerjasama dengan PAS dan PN. Pada peringkat awal, BN mengumumkan kesediaan membuka pintu kepada semua pihak untuk berunding. Pendekatan itu menimbulkan tanggapan bahawa BN sedang mempertimbangkan pelbagai kemungkinan, termasuk gagasan BN Plus yang cuba diketengahkan. Namun, akhirnya BN memilih bekerjasama dengan PN.

Keputusan itu bukan sekadar percaturan menghadapi satu pilihan raya negeri. Ia membawa makna lebih besar dalam usaha menyusun semula kekuatan politik Melayu dan mengurangkan persaingan sesama parti yang mempunyai kelompok pengundi hampir sama.

Usaha melemahkan PN melalui tindakan berkaitan pendaftaran parti itu juga tidak menghasilkan kesan politik seperti yang mungkin diharapkan pihak tertentu. Sebaliknya, PN terus bertahan dan kerjasama dengan BN membuka ruang kepada penyatuan jentera serta sokongan pengundi.

Di Johor, BN bergerak dengan kekuatan sendiri. Di Negeri Sembilan dan Melaka, kerjasama BN-PN memperlihatkan dimensi yang berbeza. Kedua-duanya menunjukkan bahawa penyelarasan kekuatan politik boleh mengubah corak persaingan pilihan raya.

Bagi BN, keputusan bekerjasama dengan PAS dan PN kini mempunyai justifikasi politik yang semakin kuat. Gagasan BN Plus tidak menjadi kenyataan, sebaliknya kerjasama BN-PN menjadi realiti di lapangan.

*ILHAM CENTRE SUDAH MEMBACA ARAH GELOMBANG*

Sebelum hari pengundian, sudah banyak pihak menjangkakan BN dengan sokongan PN akan menguasai sebahagian besar kerusi di Melaka. Kajian ILHAM Centre yang diumumkan dua hari sebelum pengundian mengunjurkan BN-PN berpotensi memenangi 24 daripada 28 kerusi DUN.

Kajian itu turut menunjukkan 91 peratus penyokong PN bersedia memberikan undi kepada calon BN, manakala 78 peratus penyokong BN pula bersedia mengundi calon PN. Dapatan itu memberikan gambaran tentang tahap kesediaan penyokong kedua-dua gabungan untuk menerima kerjasama politik berkenaan.

ILHAM Centre turut mengenal pasti konsolidasi undi Melayu, kekuatan jentera UMNO dan PAS serta penerimaan terhadap pentadbiran kerajaan negeri sebagai antara faktor yang mempengaruhi persaingan. Kajian itu melibatkan 805 responden di seluruh 28 kawasan DUN. Unjuran 24 kerusi BN-PN akhirnya menjadi gambaran awal yang cukup menarik apabila dibandingkan dengan keputusan pilihan raya.

Pakar media AI, Munir Anaam Zuljadan, yang membuat simulasi PRN Melaka menggunakan data, turut memperoleh unjuran hampir sama, iaitu BN-PN 24 kerusi dan DAP empat kerusi.

Persamaan pelbagai unjuran termasuk oleh agensi risikan itu menarik untuk diperhatikan. Ia menunjukkan bahawa kekuatan kerjasama BN-PN dan kedudukan DAP sebagai parti yang masih mempunyai pangkalan sokongan tersendiri telah dikenal pasti sebelum keputusan diumumkan.

DAP kekal sebagai komponen PH yang mampu mempertahankan sebahagian pengaruhnya, khususnya dalam kalangan pengundi bukan Melayu. Namun, PKR dan Amanah terus berdepan masalah untuk mendapatkan sokongan yang mencukupi.

*MELAYU SEMAKIN MENJAUHI PKR DAN AMANAH?*

Rumusan Presiden Amanah, Mohamad Sabu, dalam ucapan semasa kempen dua minggu ini bahawa gelombang biru akan tersekat di sempadan negeri selatan kini kelihatan jauh daripada gambaran sebenar.

Sebaliknya, gelombang itu bukan sahaja berkembang di tiga negeri berkenaan, malah memberikan tekanan besar kepada PKR dan Amanah yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan.

Amanah khususnya perlu memikirkan masa depan parti jika terus gagal mendapatkan kepercayaan pengundi Melayu. Kekalahan di Melaka, termasuk kehilangan kerusi yang diwakili Adly Zahari, menambah persoalan mengenai keupayaan parti itu mempertahankan kedudukannya.

PKR juga tidak boleh berasa selesa. Walaupun masih mempunyai wakil di Johor dan Negeri Sembilan, prestasi keseluruhan PH menunjukkan sokongan terhadap gabungan itu semakin mencabar, khususnya di kawasan majoriti Melayu.

Pasti ada sesuatu dalam fikiran pengundi Melayu sehingga sokongan terhadap PKR dan Amanah semakin sukar dipertahankan.

Naratif bahawa penyatuan Melayu atau kerjasama BN-PN merupakan politik sempit dan berasaskan perkauman nampaknya tidak cukup untuk meyakinkan pengundi. Malah, keputusan di tiga negeri ini memperlihatkan bahawa seruan penyatuan tersebut mempunyai daya tarikan politik tersendiri.

PH perlu memahami bahawa isu DAP, janji politik yang belum ditunaikan, persepsi terhadap pentadbiran kerajaan dan rasa tidak puas hati sebahagian pengundi Melayu tidak boleh dipandang ringan.

Jika benar mahu menyekat gelombang biru, janganlah membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap perasaan orang Melayu.

Tidak memadai dengan menyifatkan penyatuan Melayu sebagai politik perkauman, sedangkan persoalan yang lebih besar ialah mengapa semakin ramai pengundi Melayu memilih untuk tidak bersama PKR dan Amanah.

Naratif baharu perlu dibina. PH perlu menjawab persoalan rakyat, bukan sekadar mempertahankan naratif politik sendiri.

*PRU16: ANWAR ADA SEBAB UNTUK MENUNGGU*

Rentetan keputusan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka turut menimbulkan persoalan mengenai masa paling sesuai untuk mengadakan PRU16.

Desakan supaya pilihan raya umum diadakan lebih awal, termasuk cabar-mencabar dalam kalangan rakan Kabinet, mungkin lebih bersifat percaturan dan usikan politik. Dalam keadaan semasa, kerajaan mempunyai sebab untuk menggunakan tempoh yang masih berbaki bagi memperbaiki prestasi, menyelesaikan isu rakyat dan mengukuhkan semula sokongan politik.

PRU16 mungkin lebih sesuai diadakan selepas Sukan SEA dan pembentangan Belanjawan pada awal Oktober, tertakluk kepada perkembangan politik dan keputusan kerajaan.

Bagi Anwar dan PH, tempoh ini amat penting. Kelebihan mengawal jentera kerajaan serta naratif pentadbiran perlu dimanfaatkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat. PKR dan Amanah, khususnya, perlu mencari jalan untuk mendapatkan semula sokongan Melayu.

Mengharapkan Bersatu mengambil alih tanggungjawab memulihkan sokongan tersebut bukanlah pilihan yang semestinya menjanjikan keputusan positif. Malah, langkah itu mempunyai risiko tersendiri jika tidak disertai perubahan pendekatan dan keyakinan pengundi. Masa berbaki ini perlu digunakan sebaik-baiknya.

Bukan bermakna kerajaan perpaduan tidak melakukan sesuatu untuk rakyat. Banyak inisiatif telah dilaksanakan. Namun, persoalannya ialah sejauh mana kejayaan dan manfaatnya sampai kepada rakyat serta difahami oleh mereka. Ada kalanya kerajaan melakukan sesuatu, tetapi tidak disusun dan disampaikan dengan baik. Jika ada komunikasi sekalipun, ia mungkin tidak cukup bersungguh-sungguh untuk membina persepsi positif.

Dalam politik, melakukan sesuatu untuk rakyat sahaja tidak mencukupi. Rakyat juga perlu mengetahui, memahami dan merasai manfaatnya.

*ANWAR BELUM MENGGUNAKAN SEMUA PELURUNYA*

Mengenali Anwar, seorang pemain lama politik yang penuh dengan strategi dan percaturan, tidak ada sesuatu yang mustahil. Beliau masih mempunyai ruang untuk membuat kejutan dan mengubah arah perkembangan politik semasa.

“Anwar belum pun menggunakan peluru di tangannya,” kata seorang individu yang pernah dekat dengan kumpulan strategi politik Anwar. Kenyataan itu menarik untuk direnungkan.

Anwar masih mempunyai beberapa kelebihan sebagai Perdana Menteri, termasuk ruang membuat keputusan dasar, menggerakkan jentera kerajaan dan menentukan hala tuju komunikasi politik. Namun, kelebihan tersebut hanya akan memberikan kesan jika diterjemahkan kepada perubahan yang benar-benar dirasai rakyat.

Masa berbaki sehingga PRU16 bukan tempoh untuk PH sekadar bertahan. Ia sepatutnya menjadi ruang untuk melakukan pembetulan besar terhadap pendekatan politik, strategi komunikasi dan hubungan dengan pengundi Melayu.

Gelombang biru mungkin sedang membentuk satu arus baharu di selatan tanah air. Tiga PRN memberikan gambaran bahawa kerjasama BN-PN mempunyai kekuatan yang tidak boleh lagi dipandang sebelah mata. Namun, politik sentiasa berubah. Sokongan hari ini tidak semestinya kekal sehingga hari pengundian PRU16.

Anwar masih mempunyai masa untuk melakukan kejutan. Persoalannya, adakah beliau mampu menggunakan tempoh itu untuk mengubah keadaan atau gelombang biru akan terus berkembang sehingga mencabar kedudukan kerajaan Persekutuan? Selatan sudah memberikan isyarat. Putrajaya pula perlu membaca mesejnya. Adakah gelombang biru akan tersekat di selatan tanah air atau akhirnya sampai ke Putrajaya? Kita tunggu dulu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here